MENINGKATKAN
KEMAHIRAN MEMBACA UNTUK MURID LEMBAM DENGAN MENGGUNAKAN KAEDAH FONIK IQRA
Nor
Assikin Binti Zainal
ABSTRAK
Keupayaan
membaca merupakan asas kepada murid untuk menguasai sesuatu ilmu pengetahuan.
Kajian ini berfokus untuk meningkatkan kemahiran membaca untuk murid Lembam
dengan menggunakan Kaedah Fonik Iqra. Menerusi kajian ini, kemahiran membaca
dapat ditingkatkan melalui kemahiran membunyikan vokal /a/, /u/ dan /i/,
diikuti dengan membunyikan suku kata KV. Kemudian, diikuti dengan membaca
perkataan VKV dan KVKV. Kajian ini melibatkan seorang murid Lembam (Murid M) yang
berumur 11 tahun sebagai peserta kajian dan kini sedang mengikuti Program
Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah yang terletak di Sungai
Petani dalam daerah Kuala Muda. Murid M tidak mampu
mengecam kesemua abjad iaitu dari huruf a hingga z. Kaedah Fonik Iqra ini menggunakan
susunan konsonan mengikut susunan huruf Jawi. Pengkaji telah menggunakan kad huruf,
kad gambar, kad suku kata dan lagu Iqra sebagai bahan bantu mengajar. Dapatan
kajian membuktikan murid bermasalah pembelajaran boleh diajar dan mampu
mencapai keputusan yang diingini. Melalui pengalaman setelah menyiapkan kajian
ini, pengkaji dapat lebih memahami situasi murid Lembam dan mendapati sekiranya
diberikan kaedah pengajaran yang sesuai beserta guru yang sentiasa ingin
melihat perubahan dalam diri muridnya, maka perkara yang sukar dapat diatasi.
Kata
kunci: Lembam; Kaedah Fonik Iqra; Huruf Jawi
Pengenalan
Kelemahan
murid-murid dalam menguasai kemahiran membaca telah menarik perhatian banyak
pihak malah menjadi isu yang tidak sepatutnya dipandang ringan. Sejak dahulu
hingga sekarang perkara ini masih dibincangkan. Ini dapat dilihat daripada
kajian-kajian yang telah dijalankan. Banyak kajian telah dijalankan terhadap
masalah ini bagi mencari penyelesaiannya. Ini kerana kemahiran membaca bukanlah
suatu kemahiran semula jadi sebaliknya ia perlu dibentuk dengan asas yang kukuh
agar mendatangkan kesan yang baik. Membaca merupakan proses interaksi antara
teks dengan imaginasi pembaca (Yahya Othman, 2004). Justeru, guru perlu
mempelbagaikan teknik pengajaran membaca agar dapat menjadikan pengajaran lebih
bervariasi, menarik serta dapat menimbulkan minat murid untuk belajar dengan
lebih bersungguh-sungguh.
Semasa
pengkaji menjalani praktikum dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di
sebuah sekolah yang terletak di daerah Kuala Muda, pengkaji mendapati terdapat
tiga orang murid Lembam daripada enam orang murid dalam kelas Darul Sakinah. Salah
seorang daripada tiga murid Lembam yang dikenali sebagai Murid M tidak
mempunyai sebarang masalah pertuturan dan dapat memahami Bahasa Melayu tetapi tidak
mampu mengecam huruf walaupun sudah berusia 11 tahun. Berdasarkan pemerhatian
tersebut timbul persoalan di dalam minda pengkaji iaitu, ‘Mengapa murid M tidak
boleh membaca sedangkan dia tidak mempunyai masalah pertuturan dan boleh
memahami Bahasa Melayu sepenuhnya?’ Selain itu, pengkaji turut menimbulkan
beberapa persoalan dalam minda. Antaranya, ‘Mengapa Murid M tidak dapat
mengecam sebarang huruf sedangkan Murid M telah belajar di dalam arus perdana
selama 5 tahun?’ dan ‘Adakah kaedah membaca yang pernah digunakan oleh gurunya
semasa berada di dalam arus perdana tidak sesuai dengan tahap kebolehannya’?
Seterusnya,‘Apakah sebenarnya masalah yang dihadapi oleh Murid M? dan
’Apakah tindakan yang sesuai yang dapat saya lakukan untuk menangani masalah
ini?
Kesimpulannya,
dengan segala persoalan yang pengkaji telah timbulkan, maka pengkaji sewajarnya
melakukan sesuatu. Pengkaji perlu memperbaiki amalan pengajaran dengan kaedah
dan teknik yang dapat menarik minat Murid M. Pengkaji perlu membuat kajian tindakan
untuk kaedah membaca terkini serta mencari pendekatan sesuai untuk murid M.
Fokus Kajian
Berdasarkan
kesemua isu yang terdapat di dalam kelas tersebut, pengkaji memutuskan untuk memilih kemahiran membaca sebagai fokus
kajian kerana melalui kemahiran membaca murid dapat meningkatkan ilmu
pengetahuan (Zulkifley Hamid, 1994). Di dalam kelas Darul Sakinah terdapat tiga
orang murid Lembam. Pengkaji telah memutuskan untuk melaksanakan kajian
tersebut kepada salah seorang murid Lembam di dalam kelas Darul Sakinah yang
merupakan seorang murid perempuan kategori Lembam dan dikenali sebagai Murid M.
Pengkaji tidak memilih dua murid Lembam yang lain kerana salah seorang murid
lelaki berkategori Lembam boleh menamakan huruf dan mengeja suku kata manakala
yang seorang lagi tidak boleh memahami Bahasa Melayu. Selain itu, memandangkan
usia Murid M yang sudah 11 tahun dan pernah mengikuti aliran perdana, pengkaji
berpendapat maka perlu mencari punca murid tersebut tidak boleh membaca.
Kesimpulannya,
masalah penguasaan kemahiran membaca bagi Murid M dapat ditingkatkan sekiranya
diberikan rawatan yang sesuai. Ini disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Zainora
Mohd (2005) yang membincangkan tentang kaedah meningkatkan kemahiran membaca
dalam kalangan murid Tahun Lima dengan menggunakan kad suku kata. Menurutnya
lagi, setiap kanak-kanak perlu diajar membaca dengan menggunakan kaedah yang
mudah difahami serta memberi kesan yang mendalam terhadap tahap ingatan
kanak-kanak supaya masalah membaca tidak membelenggu kehidupan mereka kelak.
Objektif
Kajian
Kajian yang
dijalankan ini adalah berdasarkan kepada objektif kajian berikut:
1.
Untuk meningkatkan kemahiran membaca untuk
murid Lembam dengan menggunakan Kaedah Fonik Iqra dari aspek:
i
membunyikan vokal;
ii
membunyikan suku kata; dan
iii
membaca perkataan.
2.
Untuk menilai tingkah
laku yang dipamerkan oleh murid Lembam semasa sesi pembacaan.
Soalan
Kajian
1. Bagaimanakah
Kaedah Fonik Iqra dapat meningkatkan kemahiran membaca murid Lembam dalam aspek:
i.
membunyikan vokal;
ii.
membunyikan suku kata; dan
iii.
membaca perkataan ?
2. Apakah
tingkah laku yang dipamerkan oleh murid Lembam semasa sesi pembacaan?
Tinjauan
Literatur
Konsep
dan Kepentingan Membaca
Kelemahan
murid dalam menguasai kemahiran membaca telah menarik perhatian banyak pihak
malah menjadi isu yang tidak sepatutnya dipandang ringan. Sejak dahulu hingga
sekarang perkara ini masih dibincangkan. Ini dapat dilihat daripada kajian-kajian
yang telah dijalankan bagi mencari penyelesaiannya (Syed Abu Bakar Syed Akil
1997; Koh Boh Boon 1982; Zaidah Othman 1978). Ini
kerana kemahiran membaca bukanlah suatu kemahiran semula jadi sebaliknya ia
perlu dibentuk dengan asas yang kukuh agar mendatangkan kesan yang baik.
Menurut Yahya Othman (2004), membaca merupakan proses interaksi antara teks
dengan imaginasi pembaca. Justeru, guru perlu mempelbagaikan teknik pengajaran
membaca agar dapat menjadikan pengajaran lebih bervariasi, menarik serta dapat
menimbulkan minat murid untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Kesimpulannya,
kemahiran membaca merupakan asas dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Walaupun
kemahiran ini mudah dikuasai dengan menggunakan kaedah abjad, namun masih
terdapat murid yang memerlukan kaedah yang bersesuaian dengan tahap diri
mereka.
Kanak-Kanak Lembam
Pengkaji
telah memilih murid Lembam sebagai peserta kajian (Murid M). Hallahan dan
Kaufman (2006) mendefinisikan kanak-kanak Lembam sebagai satu atau lebih kecelaruan
pada proses asas psikologikal kanak-kanak yang mengaitkan pemahaman atau
penggunaan bahasa yang boleh mengganggu kemahiran mendengar, bertutur, membaca,
menulis, mengeja dan mengira. Namun begitu, permasalahan ini bukan berpunca
daripada masalah pendengaran, penglihatan atau masalah fizikal. Rathus (2004)
menyatakan jika dilihat dari ciri-ciri fizikal murid-murid Lembam adalah sukar
untuk dikenal pasti sebagai murid kelainan upaya. Murid M turut memperlihatkan
ciri-ciri seperti kanak-kanak normal namun mempunyai kecelaruan penggunaan
bahasa seperti yang dinyatakan oleh Hallahan dan Kaufman (2006). Kesimpulannya,
walaupun murid-murid Lembam mempunyai kecelaruan bahasa namun pengkaji
merasakan murid-murid ini turut berhak mendapat pendidikan seperti murid-murid
normal.
Kajian-Kajian Lepas Mengenai Kaedah
Fonik
Menurut
Zulkifley Hamid (1994), dalam Kaedah Fonik murid-murid diajar bunyi-bunyi yang
berhubung dengan huruf-huruf dan bukan nama huruf. Kaedah Fonik mengandaikan
bahawa murid membaca melibatkan kebolehan murid-murid mengenal kod atau
lambang-lambang dan juga mengetahui atau memahami hubungan antara bunyi dan
lambang yang dilihat. Selain itu, Kaedah Fonik adalah salah satu kaedah yang
sesuai dan berkesan. Ini diakui oleh Gross (dlm Nik Rahaya Nik Yahya, 2002)
yang mengatakan bahawa Kaedah Fonik dipercayai lebih berkesan dalam pedagogi
pembacaan kerana kanak-kanak diajar pada tahap asas teknik membaca yang jitu.
Di
samping itu, kajian yang dijalankan oleh Yahya Othman et al. (2012) turut membincangkan kepentingan Kaedah Fonik. Tujuan
kajian tersebut adalah untuk meneliti pelaksanaan Kaedah Fonik pada peringkat
prasekolah di Brunei Darussalam. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Kaedah Fonik
ini juga didapati memberikan kesan positif terhadap prestasi pembelajaran murid
terutamanya dari segi mempercepatkan penguasaan kemahiran membaca. Selain itu,
murid didapati lebih bermotivasi dan berminat untuk membaca pelbagai jenis
bahan bacaan. Kesimpulannya, Kaedah Fonik merupakan salah satu kaedah yang
digunakan untuk mengajar kemahiran membaca sama ada untuk murid normal atau
masalah pembelajaran. Kaedah ini lebih
menekankan aspek bunyi iaitu murid-murid tidak diajar nama tetapi bunyi-bunyi
huruf.
Kajian-Kajian Lepas Mengenai Muzik
Penggunaan
elemen muzik dapat mewujudkan proses pembelajaran dan pengajaran yang lebih
kreatif (Edith dan Kamariati 2005; Zainure
2003; Zulkifley Hamid 1994; Campbell 1990). Brewer (2007) dalam kajian bertajuk The Effectiveness of Integrating Music in the
Classroom menegaskan bahawa integrasi muzik dalam pengajaran dan
pembelajaran adalah sangat efektif kerana pendekatan muzik sesuai digunakan
untuk semua peringkat umur. Menurut kajian yang dijalankan oleh beliau,
penggunaan kaedah muzik dan 10 nyanyian dalam pengajaran dan pembelajaran boleh
membantu murid mengingati pengalaman pembelajaran yang dilalui di samping dapat
menggalakkkan penglibatan aktif murid. Irama dan melodi yang digunakan dalam
lagu, sajak dan rap dapat menguatkan memori
terhadap fakta dan isi pelajaran.
Metadologi
Kajian
Kumpulan
Sasaran
Kajian
ini dijalankan dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah
yang terletak di Sungai Petani iaitu di kelas Darul Sakinah yang mempunyai enam
orang murid. Murid-murid di kelas tersebut mempunyai pelbagai kategori
kecacatan iaitu Sindrom Down, Lembam dan Terencat Akal. Di dalam kelas Darul
Sakinah yang terdapat tiga orang murid Lembam, pengkaji telah memutuskan untuk
melaksanakan kajian kepada salah seorang murid Lembam yang merupakan seorang
murid perempuan dan dikenali sebagai Murid M. Ini memandangkan walaupun usia Murid
M sudah 11 tahun dan pernah mengikuti aliran perdana, pengkaji berpendapat maka
perlu mencari punca murid tersebut tidak boleh membaca.
Pelaksanaan
Kajian
Tinjauan Awal
Untuk
memperoleh dapatan awal dalam meninjau dan menganalisis masalah yang dihadapi Murid
M, pengkaji telah menggunakan kaedah analisis dokumen seperti berikut:
1.
Borang
Pendaftaran Kanak-Kanak Kurang Upaya Bagi Murid M
Berdasarkan
pengesahan pegawai dan pakar perubatan menunjukkan bahawa Murid M tidak
mempunyai masalah pergerakan dan mengurus aktiviti harian serta tingkah
laku.
2.
Instrumen
Penentuan Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Bagi Murid M
Instrumen ini
digunakan semasa pentaksiran yang dijalankan untuk tujuan penempatan ke dalam
sesuatu program Pendidikan Khas. Setelah dianalisis instrumen berkenaan,
pengkaji mendapati Murid M tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan.
3.
Markah
Peperiksaan Akhir Tahun 2011 Bagi Murid M
Apabila
Murid M tidak boleh membaca menyebabkan Murid M sukar untuk menerima
pembelajaran. Hal ini dibuktikan dengan data markah Peperiksaan Akhir Tahun bagi
tahun 2011 seperti Jadual 1 yang diperoleh daripada Unit Peperiksaan sekolah
tersebut.
Jadual 1
Markah Peperiksaan Akhir Tahun 2011
Subjek
|
Markah
|
Gred
|
Bahasa Melayu (Penulisan)
|
3
|
E
|
Bahasa Melayu (Kefahahaman)
|
45
|
C
|
Bahasa Inggeris
|
6
|
E
|
Matematik
|
11
|
E
|
Kajian Tempatan
|
10
|
E
|
Pendidikan Islam
|
20
|
D
|
Bahasa Arab
|
28
|
D
|
Pendidikan Muzik
|
10
|
E
|
Kemahiran Hidup
|
23
|
D
|
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan
|
46
|
C
|
Pendidikan Seni
|
46
|
C
|
4.
Ujian
Diagnostik
Ujian
diagnostik dijalankan ke atas murid-murid pada awal kajian. Tujuan ujian ini
adalah untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan murid. Antara aspek yang
terkandung dalam ujian tersebut adalah ujian mengecam huruf. Pengkaji telah
melaksanakan ujian tersebut kepada murid M pada 18 Mac 2012 iaitu pada jam 7.40
pagi. Setelah dianalisis ujian tersebut didapati murid M gagal mengecam
sebarang huruf.
Tindakan yang Dijalankan
Pengkaji
telah mengadaptasikan model kajian tindakan oleh Kemmis dan McTaggart (1988)
dan Jean McNiff (1988) dalam Madzniyah et
al. (1995) iaitu Gelungan Kajian Tindakan Berterusan. Langkah yang terlibat
dalam gelungan kajian tindakan seperti berikut:
Langkah 1: Mengenal Pasti Masalah
Berdasarkan
Langkah 1, pengkaji telah mengenalpasti dan menganalisis isu yang dialami
semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Isu tersebut adalah masalah membaca
dalam murid Lembam. Kemudian, pengkaji telah merefleks punca yang mendorong
kepada isu tersebut. Punca yang dikenal pasti adalah peserta kajian (Murid M)
tidak mendapat kaedah rawatan yang bersesuaian. Pada peringkat ini, pengkaji
telah melakukan tinjauan awal dan analisis masalah menggunakan analisis dokumen
dan ujian diagnostik untuk memperoleh data awal.
Langkah
2: Merancang
Pada Langkah
2, pengkaji telah merancang aktiviti, tempoh masa, bahan dan cara penilaian
untuk melaksanakan kajian tindakan ini. Tempoh masa bagi pelaksanaaan untuk
kajian tindakan ini adalah selama 20 hari (4 minggu). Murid telah diminta
membaca pada jam 7.30 hingga 8.00 pagi pada setiap hari persekolahan. Pengkaji memilih pada masa tersebut
memandangkan jadual waktu pendidikan khas bermula pada jam 8.00 pagi. Sekiranya murid terlibat dengan aktiviti luar
dan perhimpunan, maka sesi pembacaan akan ditangguhkan.
Langkah
3: Bertindak
Langkah
3 memerlukan pengkaji untuk bertindak iaitu melaksanakan intervensi atau kaedah
rawatan dalam memperbaiki masalah Murid M. Pengkaji menggunakan Kaedah Fonik
dan membuat improvisasi sebagai Kaedah Fonik Iqra. Pengkaji memilih nama
tersebut memandangkan susunan huruf konsonan berdasarkan huruf jawi dan
mengadaptasikan lagu Iqra dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Kebaikan Kaedah Fonik Iqra berbanding Kaedah Fonik
yang pernah dijalankan adalah pengkaji mengaitkan pengetahuan sedia ada murid melalui
pembelajaran secara Konstruktivisme iaitu murid membina
makna dengan mensintesis pengalaman baru kepada apa yang mereka telah fahami
sebelum ini (Brooks dan Brooks, 1993). Pengkaji mendapati Murid M berkebolehan membaca Buku
Qiraati sewaktu pembelajaran Pendidikan Islam. Kebolehan Murid M dalam membaca
Buku Qiraati turut menyebabkan Murid M dipilih untuk mewakili Program
Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolahnya sebagai peserta Hafazan dalam
Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas. Oleh itu, pengkaji telah menggunakan
susunan konsonan yang berdasarkan susunan Jawi.
Selain
perbezaan dari susunan konsonan yang berdasarkan susunan Jawi, pengkaji turut
menggunakan lagu Iqra sebagai bahan bantu mengajar dalam Kaedah Fonik Iqra.
Penggunaan lagu Iqra adalah selari dengan Model Pengajaran Behavioral (Noriati et al, 2009) yang menekankan penggunaan pelbagai kaedah pengajaran serta merancang
pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan.
Selain penggunaan lagu Iqra, pengkaji turut
menggunakan kad bacaan, kad gambar, kad huruf dan kad suku kata sebagai bahan
bantu mengajar. Untuk aktiviti pula, pengkaji telah menjalankan beberapa
aktiviti mengikut kemahiran yang diajar. Terdapat enam aktiviti untuk kemahiran
membunyikan vokal iaitu pengkaji memperkenalkan bunyi vokal /a/, /u/ dan /i/
terlebih dahulu dengan menggunakan kad huruf dan lagu Iqra, menamakan objek
dengan kad gambar, permainan memilih huruf berdasarkan sebutan, membaca dengan
kad bacaan dan diikuti dengan Ujian Formatif membunyikan vocal.
Kemahiran membunyikan suku kata pula melibatkan lima
aktiviti iaitu pengkaji perkenalkan bunyi suku kata dengan kad suku kata dan
lagu Iqra, membunyikan suku kata dengan kad bacaan, lembaran kerja, permainan
mencantum kad dan diikuti dengan Ujian Formatif untuk kemahiran membunyikan suku
kata. Kemahiran seterusnya adalah kemahiran membaca perkataan VKV dan KVKV.
Aktiviti-aktiviti yang diadakan adalah permainan mencantum suku kata membina
perkataan dan diikuti dengan Ujian Formatif.
Langkah
4: Memerhati
Langkah
4 memerlukan pengkaji mengumpul data serta membuat analisis bagi menilai
tindakan yang telah dijalankan. Pengumpulan data telah dilakukan melalui
cara-cara berikut:
1.
Ujian formatif
Ujian ini
dijalankan setelah Murid M mempelajari sesuatu kemahiran membaca. Antara aspek
yang dinilai adalah kemahiran membunyikan vokal, membunyikan suku kata dan
perkataan.
2.
Pemerhatian
Pengkaji membuat
pemerhatian terhadap tingkah laku murid M. Ini bertujuan untuk mengenal pasti
perlakuan dan sahsiah murid semasa proses membaca sedang dijalankan. Pengkaji
menggunakan senarai semak (Cohen, Manion, dan Marrison 2001 dalam Rosinah
Edinin 2011) bagi merekod tingkah laku murid. Pemerhatian ini dibuat semasa di
dalam setiap sesi pelaksanaan aktviti iaitu selama 30 minit dan sebanyak 12
kali.
3. Temubual
Temubual
merupakan satu kaedah pengumpulan data yang amat penting kerana membantu
pengkaji meneroka dan mendapatkan maklumat secara mendalam (Madzniyah et.al,
1995). Tujuan temubual adalah untuk mengetahui persepsi, pendapat, sikap
peserta kajian terhadap tindakan yang diambil. Semasa mengadakan temubual
tersebut pengkaji telah merekod temubual dengan menggunakan rakaman audio.
Temubual yang dijalankan pada awal kajian adalah untuk meneroka latar belakang
murid manakala temubual yang dijalankan pada peringkat semasa dan akhir sesi
pembacaan adalah untuk mengetahui perasaan Murid M.
4.
Rakaman Audio Bacaan
Pengkaji merekod
pembacaan oleh Murid M iaitu semasa membaca kad bacaan bagi ketiga-tiga
kemahiran iaitu membunyikan vokal, membunyikan suku kata dan membaca perkataan
VKV dan KVKV dengan menggunakan alat perakam untuk merakam. Tujuan rakaman ini
adalah untuk mendengar dan menganalisis sebutan Murid M.
Langkah
5: Merefleks
Untuk
langkah ini, pengkaji membuat kesimpulan, merumus dapatan serta mencadang untuk
kajian lanjutan.
Analisis
Data
Analisis
Keputusan Ujian Fomatif
i.
Kemahiran 1: membunyikan vokal /a/, /u/
dan /i/.
Jadual 1
Analisis Penilaian Ujian Kemahiran
Membunyikan Vokal yang Diadakan pada 22 Mac 2012
Kemahiran
yang diuji
|
Vokal
|
Jumlah
soalan
|
Skor
yang diperoleh
|
Membunyikan
vokal
|
a
|
3
|
1
|
i
|
3
|
0
|
|
u
|
3
|
0
|
|
|
|
Jumlah
|
1
|
|
|
Peratus
|
11.11 %
|
Jadual 2
Analisis Penilaian Ujian Kemahiran Membunyikan
Vokal yang Diadakan pada 29 Mac 2012
Kemahiran
yang diuji
|
Vokal
|
Jumlah
soalan
|
Skor
yang diperoleh
|
Membunyikan
vokal
|
a
|
3
|
3
|
i
|
3
|
3
|
|
u
|
3
|
2
|
|
|
|
Jumlah
|
8
|
|
|
Peratus
|
88.88 %
|
ii.
Membunyikan suku kata terbuka KV (/ba/,
/bu/, /bi/ dan /ta/, /tu/ dan /ti/).
Jadual
3
Analisis
Penilaian Ujian Kemahiran Membunyikan Suku Kata yang Diadakan pada 5 April 2012
Kemahiran
yang diuji
|
Suku kata
|
Jumlah soalan
|
Skor yang diperoleh
|
Membunyikan
suku kata
|
ba
|
3
|
3
|
bi
|
3
|
2
|
|
bu
|
3
|
2
|
|
ta
|
3
|
0
|
|
ti
|
3
|
1
|
|
tu
|
3
|
0
|
|
|
|
Jumlah
|
8
|
|
|
Peratus
|
44.44%
|
Jadual
4
Analisis Penilaian Ujian Kemahiran Membunyikan
Suku Kata yang Didakan pada 10 April 2012
Kemahiran
yang diuji
|
Suku kata
|
Jumlah
soalan
|
Skor
yang diperoleh
|
Membunyikan
suku kata
|
ba
|
3
|
2
|
bi
|
3
|
3
|
|
bu
|
3
|
2
|
|
ta
|
3
|
2
|
|
ti
|
3
|
3
|
|
tu
|
3
|
2
|
|
|
|
Jumlah
|
14
|
|
|
Peratus
|
77.77%
|
iii.
Kemahiran 3: membaca perkataan VKV dan
KVKV (‘ibu’, ‘bubu’, ‘abu’, ‘ubi’, ‘bata’).
Jadual
5
Analsis
Penilaian Ujian Kemahiran Membaca Perkataan pada 10 April 2012
Kemahiran
yang diuji
|
Perkataan
|
Skor
|
Skor yang diperoleh
|
||||||||
|
1
|
2
|
3
|
4
|
|
||||||
Membaca
perkataan
|
ubi
|
|
|
/
|
|
3
|
|||||
ibu
|
|
|
/
|
|
3
|
||||||
bubu
|
|
|
|
/
|
4
|
||||||
bata
|
/
|
|
|
|
1
|
||||||
batu
|
/
|
|
|
|
1
|
||||||
|
|
|
|
|
Jumlah
|
12
|
|||||
|
|
|
|
|
Peratus
|
60%
|
|||||
|
|
||||||||||
Jadual
6
Analisis Penilaian Ujian Kemahiran
Membaca Perkataan pada 12 April 2012
Kemahiran
yang diuji
|
Perkataan
|
Skor
|
Skor yang diperoleh
|
||||||||
|
1
|
2
|
3
|
4
|
|
||||||
Membaca
perkataan
|
ubi
|
|
|
/
|
|
3
|
|||||
ibu
|
|
|
/
|
|
3
|
||||||
bubu
|
|
|
|
/
|
4
|
||||||
bata
|
|
|
|
/
|
4
|
||||||
batu
|
|
|
/
|
|
3
|
||||||
|
|
|
|
|
Jumlah
|
17
|
|||||
|
|
|
|
|
Peratus
|
85%
|
|||||
|
|
||||||||||
Analisis Pemerhatian Tingkah Laku Murid M
Sepanjang Pelaksanaan Aktiviti Membaca
Jadual 7
Kedudukan Tingkah Laku yang Dipamerkan (Ada)
oleh Murid M
Tingkah laku
|
Kedudukan (Kekerapan)
|
|
Kerapkali
menggarukan kepala
|
1 (8)
|
|
Berkhayal
|
2 (5)
|
|
Murid
mudah berasa letih
|
3 (4)
|
|
Murid
berasa bosan untuk membaca
|
4 (3)
|
|
Mengalami
masalah sebutan
|
5 (2)
|
|
Rasa
takut dan gementar
|
5 (2)
|
|
Tidak
mematuhi arahan
|
7 (1)
|
|
Cara
duduk yang berubah-ubah
|
8 (0)
|
|
Suka
bergerak ke sana sini
|
8 (0)
|
Analisis Temubual
Sebahagian
daripada transkripsi temubual adalah seperti berikut:
Jadual
8
Transkripsi Temubual Pengkaji dengan Murid M
Soalan Temubual
|
Jawapan Murid M
|
1. Beritahu cikgu, perasaan kamu setelah boleh membaca
2. Adakah kamu suka cikgu ajar cara membaca?
3. Apa yang kamu maksudkan dengan suka sikit-sikit?
4. Adakah kamu suka lagu yang cikgu ajar?
5. Semasa di rumah, adakah mak ayah bantu kamu membaca?
|
Syok… nanti saya boleh polis kan…..
Suka sikit-sikit
Tidak suka cikgu garang…tapi suka bila cikgu bagi hadiah.
Suka
Tidak. Mak tak tau. Ayah pi kerja…..
|
Melalui
penguasaan kemahiran membaca Murid M berharap cita-citanya akan tercapai menjadi
seorang polis. Justeru, pengkaji merasakan bahawa Murid M mempunyai impian,
namun sukar kerana tidak tahu membaca. Jadi, pengkaji merasakan impian Murid M
itu dapat dijadikan sebagai dorongan. Melalui temubual, pengkaji turut mendapat
tahu yang Murid M tidak suka sekiranya mempunyai guru yang garang tetapi dia
suka kepada guru yang sabar, prihatin serta memahami keperluan individunya dan
memberi ganjaran. Selain itu, pengkaji juga mendapati tidak ada kesinambungan pembelajaran
di rumah menyebabkan murid M mudah lupa tentang apa yang telah diajar di
sekolah.
Analisis
Rakaman Audio Bacaan
Berdasarkan
rakaman tersebut, pengkaji mendapati Murid M tidak mempunyai masalah sebutan
dalam membunyikan suku kata dan perkataan VKV serta KVKV tetapi mempunyai
masalah sebutan dalam membunyikan vokal /a/ iaitu Murid M membunyikannya dengan
/ha/. Justeru, pengkaji telah menggunakan kad gambar dan lagu Iqra sebagai
bahan bantu mengajar. Pengkaji meminta Murid M menyebut perkataan ‘api’ dan
‘ayam’ supaya Murid M membiasakan diri dengan membunyikan /a/. Penggunaan lagu
Iqra turut membantu Murid M membunyikan vokal /a/ dengan betul.
Dapatan
Kajian Dan Perbincangan
Soalan Kajian 1: Meningkatkan Kemahiran
Membaca dengan Menggunaan Kaedah Fonik Iqra
Strategi
yang telah digunakan oleh pengkaji bagi membantu mempertingkatkan kemahiran
membaca murid Lembam yang dikenali sebagai Murid M adalah dengan mengajar
kemahiran membunyikan vokal, diikuti membunyikan suku kata dan seterusnya
membaca perkataan VKV dan KVKV. Strategi
pengajaran dari mudah ke sukar atau mengikut prinsip Pembelajaran Masteri ini adalah bertujuan untuk memudahkan
kefahaman Murid M. Pembelajaran Masteri merupakan satu pendekatan pengajaran
dan pembelajaran untuk memastikan murid menguasai hasil pembelajaran sebelum
berpindah ke unit pembelajaran seterusnya (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001).
Pembelajaran secara Masteri ini juga adalah selaras dengan kajian yang
dijalankan oleh Zaidah Othman (1978)
bahawa dalam pengajaran Bahasa Melayu di peringkat awal, kemahiran-kemahiran
asas perlu dikukuhkan sebelum pengajaran membaca ayat dijalankan.
Kemahiran-kemahiran tersebut adalah seperti berikut:
i.
Menamakan dan membunyikan huruf-huruf
abjad dengan betul
ii.
Menyebut dan membunyikan bilangan
huruf-huruf abjad dengan betul
iii. Menggabungkan
bunyi-bunyi suku kata dan perkataan
Penggunaan
Kaedah Fonik Iqra telah membantu Murid M meningkatkan kemahiran membaca. Pada
mulanya, pengkaji memperkenalkan bunyi vokal
/a/, /u/ dan /i/ terlebih dahulu dengan menggunakan kad huruf dan lagu Iqra,
menamakan objek dengan kad gambar, permainan memilih huruf berdasarkan sebutan,
membaca dengan kad bacaan dan diikuti dengan Ujian Formatif. Melalui
aktiviti-aktiviti tersebut Murid M telah menjalani Ujian Formatif pada 22 Mac
2012 dan didapati hanya memperoleh skor 1 dan menunjukkan tidak lulus. Justeru,
pengkaji telah mengulang semula dengan meningkatkan aktiviti membaca yang
menggunakan kad bacaan, lagu Iqra dan permainan memilih kad huruf mengikut
sebutan pengkaji. Malah, pengkaji juga memberi ganjaran kepada Murid M
sekiranya memilih kad huruf yang betul.
Pengulangan aktiviti ini penting memandangkan Murid M
merupakan murid Lembam yang mempunyai daya ingatan yang lemah dan kecelaruan
penggunaan bahasa seperti yang dinyatakan oleh Hallahan dan Kaufman (2006).
Malah melalui pengulangan ini menunjukkan pengkaji mengaplikasikan Teori
Pemerolehan Bahasa iaitu Teori Mekanis (dlm Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir,
2005) bahawa pengulangan secara mekanis ini adalah sangat penting untuk
penguasaan bahasa. Dapatan penilaian Ujian Formatif yang kedua telah dijalankan
pada 29 Mac 2012 dan Murid M didapati hanya melakukan kesilapan sebanyak sekali
iaitu semasa membunyikan /u/. Dapatan tersebut menunjukkan Murid M telah lulus
dan boleh diajar dengan kemahiran seterusnya.
Selain
itu, Murid M juga berjaya membunyikan suku kata dengan Kaedah Fonik Iqra. Kemahiran membunyikan suku kata melibatkan lima
aktiviti iaitu pada mulanya pengkaji perkenalkan bunyi suku kata dengan kad
suku kata dan lagu Iqra, murid M membunyikan suku kata dengan kad bacaan,
lembaran kerja, permainan mencantum kad dan diikuti dengan Ujian Formatif untuk
kemahiran membunyikan suku kata. Pada 5 April 2012, pengkaji telah melaksanakan
Ujian Formatif untuk suku kata dan keputusan menunjukkan Murid M hanya boleh
menguasai kemahiran membunyikan suku kata yang melibatkan ‘ba’, ‘bu’, dan ‘bi’
tetapi untuk suku kata ‘ta’, ‘ti’ dan ‘tu’ menunjukkan Murid M memerlukan
bimbingan. Setelah selesai Ujian Formatif tersebut, pengkaji mendapati Murid
M kelihatan kecewa maka pengkaji meneruskan aktiviti dengan meminta Murid M
untuk mencantum kad vokal dengan kad suku kata yang melibatkan huruf ‘b’ untuk
membentuk perkataan. Perkataan pertama yang berjaya dibina oleh Murid M adalah
‘ibu’. Pengkaji melihat Murid M seronok atas kejayaannya itu. Aktiviti
diteruskan dengan perkataan ‘ubi’ dan ‘bubu’.
Apabila
Murid M berjaya, pengkaji mengulang semula aktiviti pembelajaran suku kata yang
melibatkan huruf ‘t’. Pengkaji turut menambah satu permainan iaitu meminta
Murid M memilih kad suku kata yang ditaburkan di atas meja dan sekiranya betul,
Murid M akan diberi ganjaran. Kemudian, pengkaji melaksanakan semula Ujian
Formatif pada 10 April 2012. Dapatan kajian iaitu Ujian Formatif yang
dijalankan pada 10 April dan menunjukkan Murid M berjaya mencapai skor lulus.
Setelah
Murid M berjaya membunyikan vokal dan suku kata, Murid M turut mampu berjaya
membaca perkataan VKV dan KVKV. Untuk membaca perkataan, aktiviti-aktiviti yang diadakan adalah permainan
mencantum suku kata membina perkataan dan diikuti dengan Ujian Formatif pada 10
April 2012. Berdasarkan Ujian Formatif pada 10 April 2012, Murid M didapati
gagal membaca perkataan yang melibatkan suku kata ‘ta’, ‘tu’, dan ‘ti’.
Kemudian, pada 12 April 2012, pengkaji melaksnakan semula Ujian Formatif untuk
kemahiran membaca perkataan VKV dan KVKV. Dapatan menunjukkan Murid M boleh
membaca kelima-lima perkataan dan kekerapan skor adalah 3 dan 4. Peningkatan
ini adalah kerana pengkaji melaksanakan latih tubi untuk meningkatkan daya
ingatan Murid M.
Secara
keseluruhannya, kemahiran membaca Murid M dapat ditingkatkan dengan menggunakan
Kaedah Fonik Iqra. Dapatan kajian ini selaras dengan kajian oleh Yahya Othman et al. (2012) yang menunjukkan bahawa Kaedah Fonik dapat
memberikan kesan positif terhadap prestasi pembelajaran murid terutamanya dari
segi mempercepatkan penguasaan kemahiran membaca. Selain itu, murid didapati
lebih bermotivasi dan berminat untuk mengikuti sesi membaca apabila memasukkan
elemen muzik iaitu lagu Iqra. Berdasarkan temubual dan pemerhatian, pengkaji
mendapati Murid M merasa seronok apabila sudah boleh membaca berbanding dengan
sebelum ini yang dia tidak tahu apa-apa. Di samping itu, perancangan
aktiviti-aktiviti beserta bahan bantu mengajar yang sesuai juga meningkatkan
lagi penguasaan membaca Murid M.
Soalan
Kajian 2: Tingkah Laku yang Dipamerkan Oleh Murid M Semasa Sesi Pembacaan
Dapatan
menunjukkan sepanjang 12 sesi pembacaan yang telah dijalankan, kekerapan bagi
tiap-tiap satu tingkah laku yang diperhatikan adalah tidak tetap. Murid M tidak
mempamerkan sebarang tingkah laku yang mengganggu perjalanan proses pembacaan. Bagi
tingkah laku “kerap kali menggarukan kepala”, Murid M melakukan sebanyak 8 kali
daripada 12. Ini merupakan kekerapan paling tinggi berbanding tingkah laku yang
lain. Berdasarkan pemerhatian, ini kerana Murid M mudah lupa dan merupakan satu
tabiat semasa mengingati sesuatu perkara.
Tingkah
laku yang berada pada kedudukan yang ke-2 adalah “berkhayal”. Murid M dilihat
ralit dan memerlukan pengkaji memanggil nama Murid M berkali-kali. Murid M
melakukan sebanyak 5 kali daripada 12 sesi pembacaan. Pengkaji turut mendapati
Murid M sering berkhayal semasa diajar membaca berbanding mendengar lagu dan
menjalankan aktiviti. Dapatan ini selari dengan Model Pengajaran Behavioral
yang menekankan penggunaan pelbagai kaedah
pengajaran serta merancang pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang
menyeronokkan.
Kedudukan
yang ke-3 pula, adalah Murid M “mudah berasa letih”. Pengkaji mendapati
walaupun sesi pembacaan dijalankan pada jam 7.30 pagi, namun Murid M dilihat
kadangkala letih. Apabila disoal, Murid M mengatakan yang dia malas untuk
bangun pada awal pagi. Seterusnya kedudukan tingkah laku yang ke-4 adalah murid
“berasa bosan untuk membaca”. Sepanjang sesi pembacaan ini dijalankan pengkaji
mendapati Murid M melakukan tingkah laku ini sebanyak 3 kali sahaja iaitu
berdasarkan mimik muka dan meminta ingin ke taman permainan bersama rakan
sekelasnya. Pengkaji melihat Murid M menunjukkan tingkah laku bosan semasa
pengkaji memperkenalkan vokal, suku kata dan perkataan tanpa menggunakan lagu
Iqra. Justreu, penggunaan lagu Iqra yang seronok dan sesuai dengan jiwa Murid M
mampu menarik minatnya.
Terdapat
dua tingkah laku pada kedudukan yang ke-5 iaitu mengalami “masalah sebutan” dan
“rasa takut dan gementar”. Murid M dilihat melakukan kedua-dua tingkah laku
sebanyak 2 kali daripada 12 sesi pembacaan yang dijalankan. Murid M melakukan
tingkah laku ini pada awal kajian dijalankan kerana Murid M sukar membunyikan
/a/ tetapi menyebut /ha/. Manakala Murid M dilihat berasa gementar kerana pada
awal kajian dijalankan pengkaji bersikap menekan dan memaksa untuk Murid M
menguasai sesuatu kemahiran.
Kesimpulannya,
tingkah laku yang dipamerkan oleh Murid M adalah tidak mengganggu perjalanan
sesi pembacaan. Murid M dapat disimpulkan sebagai murid yang baik. Pengkaji
turut mendapati kebanyakan tingkah laku seperti berasa bosan, rasa takut, dan
tidak mematuhi arahan berlaku pada permulaan kajian dijalankan. Pada masa
tersebut, pengkaji lebih menekan supaya murid dapat menguasai kemahiran
membaca. Setelah pengkaji menyedari akan sikap itu, pengkaji merubah menjadi
seorang yang prihatin dan bersikap lebih lembut tetapi tegas. Kesannya, Murid M
tidak lagi mempamerkan tingkah laku sedemikian.
Oleh
itu, dapatan kajian adalah selari dengan Teori Humanisme iaitu murid bermasalah
pembelajaran mempunyai keperluan yang berbeza. Melayani keperluan individu
adalah penting bagi memastikan murid bermasalah pembelajaran dapat berkembang
mengikut potensi masing-masing. Teori Humanisme melihat manusia sebagai makhluk
istimewa yang tidak serupa dengan haiwan. Humanisme percaya bahawa manusia
bertindak atas dasar keperluan, motivasi, minat dan nilai. Humanisme juga
percaya manusia perlu dihat secara menyeluruh (Noriati et. al, 2009).
Rumusan /
Refleksi
Rumusan
Menerusi
kajian tindakan ini, pengkaji mendapati peserta kajian yang dikenali sebagai Murid
M (Lembam) dapat meningkatkan kemahiran membaca dengan menggunakan Kaedah Fonik
Iqra. Kaedah Fonik Iqra melibatkan beberapa aktiviti
mengikut kemahiran yang diajar. Terdapat enam aktiviti untuk kemahiran
membunyikan vokal iaitu pengkaji memperkenalkan bunyi vokal /a/, /u/ dan /i/
terlebih dahulu dengan menggunakan kad huruf dan lagu Iqra, menamakan objek
dengan kad gambar, permainan memilih huruf berdasarkan sebutan, membaca dengan
kad bacaan dan diikuti dengan Ujian Formatif membunyikan vokal. Kemahiran membunyikan
suku kata pula melibatkan lima aktiviti
iaitu pengkaji perkenalkan bunyi suku kata dengan kad suku kata dan lagu Iqra, membunyikan
suku kata dengan kad bacaan, lembaran kerja, permainan mencantum kad dan
diikuti dengan Ujian Formatif untuk kemahiran membunyikan suku kata.
Kemahiran seterusnya adalah kemahiran membaca
perkataan VKV dan KVKV. Aktiviti-aktiviti yang diadakan adalah permainan mencantum
suku kata membina perkataan dan diikuti dengan Ujian Formatif. Hal ini bermakna
sekiranya ‘rawatan’ yang digunakan adalah sesuai maka dapat membantu murid. Ini
disokong oleh Mohd Siraj Awang (1995) bahawa kanak-kanak bekeperluan khas ini
memerlukan kaedah, teknik, pendekatan dan alat bantu mengajar yang berkesan dan
baik agar mereka dapat dilatih. Dapatan kajian ini turut membuktikan penggunaan
Kaedah Fonik Iqra adalah sesuai untuk murid Lembam (Murid M) kerana daripada
Murid M tidak boleh mengenal sebarang huruf sehingga Murid M didapati boleh
membaca perkataan. Ini selaras dengan pendapat Gross (dlm Nik Rahaya Nik Yahya,
2002) yang mengatakan bahawa Kaedah Fonik dipercayai lebih berkesan dalam
pedagogi pembacaan kerana kanak-kanak diajar pada tahap asas teknik membaca
yang jitu.
Selain
itu, penggunaan lagu Iqra dalam Kaedah Fonik Iqra menjadikan suasana
pembelajaran lebih aktif. Murid M kelihatan seronok melalui penggunaan lagu
Iqra. Ini kerana melalui muzik, Murid M lebih berminat mengikuti pembelajaran.
Ini telah disokong dengan kajian dijalankan oleh Zainure (2003) yang
membuktikan bahawa aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berjaya adalah
bergantung kepada aktiviti yang menarik yang bersesuaian dengan kehendak dan
minat murid-murid seperti muzik dan nyanyian. Penggunaan elemen muzik dan
nyanyian bukan sahaja dapat membantu murid-murid mengenali, menyebut dan
menghafal struktur, malah aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadikan
suasana lebih menyeronokkan.
Melalui penggunaan lagu Iqra, Murid M turut
dapat mengaitkan pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan baru iaitu melalui pembelajaran
secara Konstruktivisme yang membina makna (Brooks
dan Brooks 1993). Ini dapat dibuktikan apabila Murid M dapat mengaitkan susunan
konsonan yang membentuk suku kata dalam Kaedah Fonik Iqra adalah mengikut
susunan Jawi dan Murid M boleh mengaitkan pengetahuan sedia adanya iaitu
membaca Buku Qiraati dengan Kaedah Fonik Iqra. Ini disokong oleh Brewer (2007)
dalam kajian yang dijalankan bahawa integrasi muzik dalam pengajaran dan
pembelajaran adalah sangat efektif dimana pendekatan muzik sesuai digunakan
untuk semua peringkat umur. Mereka membentuk peraturan melalui refleksi tentang
interaksi mereka dengan objek dan idea.
Kajian
ini turut terdapat beberapa kelemahan yang dikenalpasti iaitu pengkaji
mendapati Murid M sering lupa namun berminat mengikuti proses pengajaran dan
pembelajaran. Pengkaji melaksanakan kaedah pengulangan seiring dengan Teori Pemerolehan Bahasa
iaitu Teori Mekanis (dlm Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005) iaitu
pengulangan secara mekanis adalah sangat penting untuk penguasaan bahasa dan
akan menarik minat murid sekiranya guru merancang dengan teliti.
Namun begitu, memandangkan Murid M adalah murid Lembam dan mempunyai kecelaruan
penggunaan bahasa (Hallahan dan Kaufman, 2006), maka melalui kajian ini
pengkaji merasakan kesinambungan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah amat
penting terutamanya terhadap murid bermasalah pembelajaran. Apabila mempunyai
kesinambungan di rumah maka dapat membantu Murid M untuk mengingati kemahiran
yang telah diajar.
Selain
itu, kekangan masa turut merupakan kelemahan semasa menjalankan kajian ini.
Pengkaji telah melaksanakan kajian jam 7.30 pagi memandangkan masa pembelajaran
Murid M bermula pada jam 8.00 hingga 12.00 tengah hari. Walau bagaimanapun,
terdapat aktiviti yang menghalang pengkaji melaksanakan kajian pada masa
tersebut. Antaranya, Murid M terlibat dengan latihan Majlis Tilawah Al-Quran,
perhimpunan dan aktiviti terapi. Tambahan lagi, Murid M juga tidak hadir ke
sekolah selama tiga hari iaitu pada minggu kedua kajian langkah dijalankan.
Pengkaji hanya berpeluang melaksanakan kajian ini sebanyak 12 sesi sahaja. Justeru, pengkaji harus kreatif dan
proaktif dalam menyelesaikan masalah atau kekangan yang berlaku.
Refleksi
Keseluruhan
Sepanjang
kajian ini, banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan yang telah pengkaji lalui
terutama semasa sesi pembacaan bersama peserta kajian.
1)
Perubahan
Sikap Pengkaji Sebagai Pendidik
Pada
awalnya, pengkaji mempunyai keraguan sama ada Murid M mampu mengikuti sesi
pembacaan ini atau tidak. Pernah terdetik dalam minda pengkaji, ‘bolehkah?’ dan
‘sesuaikah?’ Walaupun pengkaji telah menjalani sebanyak dua kali praktikum dan
pernah berhadapan dengan murid Lembam sebelum ini, tetapi ini merupakan kali
pertama pengkaji berhadapan dengan murid Lembam yang berada agak lama di dalam
aliran arus perdana iaitu selama lima tahun. Pengkaji turut pernah tidak yakin
dengan kaedah kajian yang akan dilaksanakan. Pernah terdetik di dalam minda
pengkaji untuk merancang langkah yang lain. Namun, setelah berbincang dengan
penyelia, pengkaji merasakan ini merupakan tanggungjawab sebagai pendidik
terutamanya dalam bidang Pendidikan Khas apabila berhadapan dengan cabaran
seperti ini. Sungguhpun terdapat andaian yang menyatakan kemahiran membaca ini
mudah dikuasai namun untuk murid Lembam adalah agak sukar. Akan tetapi
sekiranya diberikan kaedah pengajaran yang sesuai beserta guru yang sentiasa
ingin melihat perubahan dalam diri muridnya maka perkara sukar dapat
diatasi. Ini seiring dengan karya Teach Your Baby to Read oleh Doman G.
(dlm Ruhana Jaafar, 2002) yang telah
memulakan pengkajian terhadap kanak-kanak cacat yang bertujuan untuk mencari
cara rawatan yang terbaik dan berkesan ke arah pandai membaca, meskipun gagal
pada peringkat awalnya. Akhirnya pada tahun 1955 Doman telah berjaya menubuhkan
Pusat Pemulihan di Philadelphia di mana ramai kanak-kanak cacat telah berjaya
dipulihkan malah dalam lingkungan 3 tahun lagi mereka sudah boleh membaca.
Sebagai
guru, pengkaji turut belajar pendekatan yang sesuai untuk murid Lembam yang
mana pengkaji dapati murid Lembam ini memerlukan pendekatan one to one iaitu seorang guru untuk
seorang murid. Ini kerana murid seperti ini memerlukan tumpuan yang lebih
daripada guru sebagaimana Teori Humanisme (Noriati et al, 2009) yang menyatakan pelajar berkeperluan khas mempunyai
keperluan yang berbeza. Justeru, guru sewajarnya melayani keperluan indvidu
kerana penting dalam membantu perkembangan potensi murid. Malah, melalui kajian
ini, pengkaji mempelajari pembelajaran yang sesuai dengan murid-murid
berkeperluan khas iaitu Pembelajaran Masteri (Noriati et al, 2009) yang mana masa pembelajaran adalah fleksibel dan
setiap murid menerima pengajaran yang dirancang, latihan yang diperlukan dan
maklum balas serta berasaskan pemulihan dan penggayaan secara individu.
Justeru, melalui kajian ini pengkaji telah belajar mengaplikasi Pembelajaran
Masteri dalam Kaedah Fonik Iqra iaitu pada mulanya murid diperkenalkan bunyi
vokal diikuti membunyikan suku kata dan seterusnya membaca perkataan.
Selain
itu, pengkaji juga mempelajari pengulangan pembelajaran amat penting bagi murid
berkeperluan khas. Ini seiring dengan Teori Pemerolehan Bahasa iaitu Teori Mekanis (dlm Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005)
yang memberi pendapat bahawa pengulangan secara mekanis ini adalah sangat
penting untuk penguasaan bahasa dan akan menarik minat murid sekiranya guru
merancang dengan teliti. Di samping itu, pengkaji belajar untuk
bersikap sabar dan boleh mengawal perasaan diri. Pada mulanya, pengkaji
bersikap menekan (diktator) iaitu memaksa Murid M mengikuti sesi pembacaan dan
didapati Murid M tidak berminat. Kemudian, pengkaji mendekati Murid M dengan
bersikap lebih santai, bersikap sabar dan menggunakan peneguhan positif iatu
memberi ganjaran sekiranya didapati Murid M boleh mengikuti sesi pembacaan.
Akhir sekali, melalui kajian ini, pengkaji dapat meningkatkan profesion
keguruan dan menjadi seorang guru Pendidikan Khas yang prihatin dan dedikasi
terhadap tugas di samping kreatif untuk membantu murid-murid bermaslaah
pembelajaran untuk menguasai kemahiran membaca.
2) Perubahan Sikap Murid
Perubahan
sikap ini dapat dilihat apabila Murid M sentiasa menunjukkan minat untuk
menguasai kemahiran membaca. Pada mulanya, Murid M tidak berminat dan kelihatan
bosan, namun apabila pengkaji menggunakan peneguhan di samping bersikap dengan
lebih santai maka didapati Murid M dapat meneruskan sesi pembacaan. Setiap
pagi, pengkaji mendapati Murid M sudah meletakkan bahan di atas meja untuk
membaca. Murid M juga kelihatan seronok apabila boleh membaca dan memperoleh
tanda (/) yang menunjukkan betul pada kertas ujian. Walaupun kadangkala Murid M
teragak-agak dan mengambil masa untuk membaca, namun Murid M tetap memberi
jawapan. Murid M turut dilihat tidak pernah bergerak ke tempat lain sepanjang
sesi pembacaan walaupun pada masa tersebut terdapat rakan-rakannya bermain di
taman permainan. Akhir sekali setelah selesai kajian ini, hubungan pengkaji
dengan Murid M semakin mesra berbanding sebelum ini iaitu Murid M seperti malu dan
takut. Pengkaji turut mendapati Murid M sentiasa bertanya pengkaji ..cikgu tidak mahu masuk kelas kami....?. Melalui
soalan tersebut, pengkaji berasa dihargai.
Cadangan
Kajian Lanjutan
Sekiranya mempunyai tempoh masa yang lebih lama lagi,
pengkaji ingin melaksanakan gelungan seterusnya. Pengkaji berharap semasa
gelungan seterusnya, pengkaji dapat menjalankan kajian bagi aspek-aspek
berikut:
1.
Mengintegrasikan
unsur terapi bermain agar murid lebih berminat.
2. Kesinambungan pembelajaran di rumah dalam meningkatkan
kemahiran membaca murid.
3. Peneguhan positif dalam meningkatkan minat murid Lembam
terhadap membaca
No comments:
Post a Comment