Friday, 31 July 2015

artikel kajian MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBACA UNTUK MURID LEMBAM DENGAN MENGGUNAKAN KAEDAH FONIK IQRA

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBACA UNTUK MURID LEMBAM DENGAN MENGGUNAKAN KAEDAH FONIK IQRA

Nor Assikin Binti Zainal

ABSTRAK

Keupayaan membaca merupakan asas kepada murid untuk menguasai sesuatu ilmu pengetahuan. Kajian ini berfokus untuk meningkatkan kemahiran membaca untuk murid Lembam dengan menggunakan Kaedah Fonik Iqra. Menerusi kajian ini, kemahiran membaca dapat ditingkatkan melalui kemahiran membunyikan vokal /a/, /u/ dan /i/, diikuti dengan membunyikan suku kata KV. Kemudian, diikuti dengan membaca perkataan VKV dan KVKV. Kajian ini melibatkan seorang murid Lembam (Murid M) yang berumur 11 tahun sebagai peserta kajian dan kini sedang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah yang terletak di Sungai Petani dalam daerah Kuala Muda. Murid  M  tidak  mampu mengecam kesemua abjad iaitu dari huruf a hingga z. Kaedah Fonik Iqra ini menggunakan susunan konsonan mengikut susunan huruf  Jawi. Pengkaji telah menggunakan kad huruf, kad gambar, kad suku kata dan lagu Iqra sebagai bahan bantu mengajar. Dapatan kajian membuktikan murid bermasalah pembelajaran boleh diajar dan mampu mencapai keputusan yang diingini. Melalui pengalaman setelah menyiapkan kajian ini, pengkaji dapat lebih memahami situasi murid Lembam dan mendapati sekiranya diberikan kaedah pengajaran yang sesuai beserta guru yang sentiasa ingin melihat perubahan dalam diri muridnya, maka perkara yang sukar dapat diatasi.

Kata kunci: Lembam; Kaedah Fonik Iqra; Huruf Jawi
Pengenalan
Kelemahan murid-murid dalam menguasai kemahiran membaca telah menarik perhatian banyak pihak malah menjadi isu yang tidak sepatutnya dipandang ringan. Sejak dahulu hingga sekarang perkara ini masih dibincangkan. Ini dapat dilihat daripada kajian-kajian yang telah dijalankan. Banyak kajian telah dijalankan terhadap masalah ini bagi mencari penyelesaiannya. Ini kerana kemahiran membaca bukanlah suatu kemahiran semula jadi sebaliknya ia perlu dibentuk dengan asas yang kukuh agar mendatangkan kesan yang baik. Membaca merupakan proses interaksi antara teks dengan imaginasi pembaca (Yahya Othman, 2004). Justeru, guru perlu mempelbagaikan teknik pengajaran membaca agar dapat menjadikan pengajaran lebih bervariasi, menarik serta dapat menimbulkan minat murid untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.
Semasa pengkaji menjalani praktikum dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah yang terletak di daerah Kuala Muda, pengkaji mendapati terdapat tiga orang murid Lembam daripada enam orang murid dalam kelas Darul Sakinah. Salah seorang daripada tiga murid Lembam yang dikenali sebagai Murid M tidak mempunyai sebarang masalah pertuturan dan dapat memahami Bahasa Melayu tetapi tidak mampu mengecam huruf walaupun sudah berusia 11 tahun. Berdasarkan pemerhatian tersebut timbul persoalan di dalam minda pengkaji iaitu, ‘Mengapa murid M tidak boleh membaca sedangkan dia tidak mempunyai masalah pertuturan dan boleh memahami Bahasa Melayu sepenuhnya?’ Selain itu, pengkaji turut menimbulkan beberapa persoalan dalam minda. Antaranya, ‘Mengapa Murid M tidak dapat mengecam sebarang huruf sedangkan Murid M telah belajar di dalam arus perdana selama 5 tahun?’ dan ‘Adakah kaedah membaca yang pernah digunakan oleh gurunya semasa berada di dalam arus perdana tidak sesuai dengan tahap kebolehannya’? Seterusnya,‘Apakah sebenarnya masalah yang dihadapi oleh Murid M? dan ’Apakah tindakan yang sesuai yang dapat saya lakukan untuk menangani masalah ini?
Kesimpulannya, dengan segala persoalan yang pengkaji telah timbulkan, maka pengkaji sewajarnya melakukan sesuatu. Pengkaji perlu memperbaiki amalan pengajaran dengan kaedah dan teknik yang dapat menarik minat Murid M. Pengkaji perlu membuat kajian tindakan untuk kaedah membaca terkini serta mencari pendekatan sesuai untuk murid M.

Fokus Kajian
Berdasarkan kesemua isu yang terdapat di dalam kelas tersebut, pengkaji memutuskan  untuk memilih kemahiran membaca sebagai fokus kajian kerana melalui kemahiran membaca murid dapat meningkatkan ilmu pengetahuan (Zulkifley Hamid, 1994). Di dalam kelas Darul Sakinah terdapat tiga orang murid Lembam. Pengkaji telah memutuskan untuk melaksanakan kajian tersebut kepada salah seorang murid Lembam di dalam kelas Darul Sakinah yang merupakan seorang murid perempuan kategori Lembam dan dikenali sebagai Murid M. Pengkaji tidak memilih dua murid Lembam yang lain kerana salah seorang murid lelaki berkategori Lembam boleh menamakan huruf dan mengeja suku kata manakala yang seorang lagi tidak boleh memahami Bahasa Melayu. Selain itu, memandangkan usia Murid M yang sudah 11 tahun dan pernah mengikuti aliran perdana, pengkaji berpendapat maka perlu mencari punca murid tersebut tidak boleh membaca. 
Kesimpulannya, masalah penguasaan kemahiran membaca bagi Murid M dapat ditingkatkan sekiranya diberikan rawatan yang sesuai. Ini disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Zainora Mohd (2005) yang membincangkan tentang kaedah meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan murid Tahun Lima dengan menggunakan kad suku kata. Menurutnya lagi, setiap kanak-kanak perlu diajar membaca dengan menggunakan kaedah yang mudah difahami serta memberi kesan yang mendalam terhadap tahap ingatan kanak-kanak supaya masalah membaca tidak membelenggu kehidupan mereka kelak.

Objektif Kajian
Kajian yang dijalankan ini adalah berdasarkan kepada objektif kajian berikut:
1.          Untuk meningkatkan kemahiran membaca untuk murid Lembam dengan menggunakan Kaedah Fonik Iqra dari aspek:
                             i            membunyikan vokal;
                            ii            membunyikan suku kata; dan
                          iii            membaca perkataan.
2.          Untuk menilai tingkah laku yang dipamerkan oleh murid Lembam semasa sesi pembacaan.
Soalan Kajian
1.       Bagaimanakah Kaedah Fonik Iqra dapat meningkatkan kemahiran membaca murid Lembam dalam aspek:
                              i.          membunyikan vokal;
                             ii.          membunyikan suku kata; dan
                           iii.          membaca perkataan ?
2.       Apakah tingkah laku yang dipamerkan oleh murid Lembam semasa sesi pembacaan?
Tinjauan Literatur
Konsep dan Kepentingan Membaca
Kelemahan murid dalam menguasai kemahiran membaca telah menarik perhatian banyak pihak malah menjadi isu yang tidak sepatutnya dipandang ringan. Sejak dahulu hingga sekarang perkara ini masih dibincangkan. Ini dapat dilihat daripada kajian-kajian yang telah dijalankan bagi mencari penyelesaiannya (Syed Abu Bakar Syed Akil 1997; Koh Boh Boon 1982; Zaidah Othman 1978). Ini kerana kemahiran membaca bukanlah suatu kemahiran semula jadi sebaliknya ia perlu dibentuk dengan asas yang kukuh agar mendatangkan kesan yang baik. Menurut Yahya Othman (2004), membaca merupakan proses interaksi antara teks dengan imaginasi pembaca. Justeru, guru perlu mempelbagaikan teknik pengajaran membaca agar dapat menjadikan pengajaran lebih bervariasi, menarik serta dapat menimbulkan minat murid untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Kesimpulannya, kemahiran membaca merupakan asas dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Walaupun kemahiran ini mudah dikuasai dengan menggunakan kaedah abjad, namun masih terdapat murid yang memerlukan kaedah yang bersesuaian dengan tahap diri mereka.
Kanak-Kanak Lembam
Pengkaji telah memilih murid Lembam sebagai peserta kajian (Murid M). Hallahan dan Kaufman (2006) mendefinisikan kanak-kanak Lembam sebagai satu atau lebih kecelaruan pada proses asas psikologikal kanak-kanak yang mengaitkan pemahaman atau penggunaan bahasa yang boleh mengganggu kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, mengeja dan mengira. Namun begitu, permasalahan ini bukan berpunca daripada masalah pendengaran, penglihatan atau masalah fizikal. Rathus (2004) menyatakan jika dilihat dari ciri-ciri fizikal murid-murid Lembam adalah sukar untuk dikenal pasti sebagai murid kelainan upaya. Murid M turut memperlihatkan ciri-ciri seperti kanak-kanak normal namun mempunyai kecelaruan penggunaan bahasa seperti yang dinyatakan oleh Hallahan dan Kaufman (2006). Kesimpulannya, walaupun murid-murid Lembam mempunyai kecelaruan bahasa namun pengkaji merasakan murid-murid ini turut berhak mendapat pendidikan seperti murid-murid normal.
Kajian-Kajian Lepas Mengenai Kaedah Fonik
Menurut Zulkifley Hamid (1994), dalam Kaedah Fonik murid-murid diajar bunyi-bunyi yang berhubung dengan huruf-huruf dan bukan nama huruf. Kaedah Fonik mengandaikan bahawa murid membaca melibatkan kebolehan murid-murid mengenal kod atau lambang-lambang dan juga mengetahui atau memahami hubungan antara bunyi dan lambang yang dilihat. Selain itu, Kaedah Fonik adalah salah satu kaedah yang sesuai dan berkesan. Ini diakui oleh Gross (dlm Nik Rahaya Nik Yahya, 2002) yang mengatakan bahawa Kaedah Fonik dipercayai lebih berkesan dalam pedagogi pembacaan kerana kanak-kanak diajar pada tahap asas teknik membaca yang jitu.
Di samping itu, kajian yang dijalankan oleh Yahya Othman et al. (2012) turut membincangkan kepentingan Kaedah Fonik. Tujuan kajian tersebut adalah untuk meneliti pelaksanaan Kaedah Fonik pada peringkat prasekolah di Brunei Darussalam. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Kaedah Fonik ini juga didapati memberikan kesan positif terhadap prestasi pembelajaran murid terutamanya dari segi mempercepatkan penguasaan kemahiran membaca. Selain itu, murid didapati lebih bermotivasi dan berminat untuk membaca pelbagai jenis bahan bacaan. Kesimpulannya, Kaedah Fonik merupakan salah satu kaedah yang digunakan untuk mengajar kemahiran membaca sama ada untuk murid normal atau masalah pembelajaran.  Kaedah ini lebih menekankan aspek bunyi iaitu murid-murid tidak diajar nama tetapi bunyi-bunyi huruf.
Kajian-Kajian Lepas Mengenai Muzik
Penggunaan elemen muzik dapat mewujudkan proses pembelajaran dan pengajaran yang lebih kreatif (Edith dan Kamariati 2005; Zainure 2003; Zulkifley Hamid 1994; Campbell 1990). Brewer (2007) dalam kajian bertajuk The Effectiveness of Integrating Music in the Classroom menegaskan bahawa integrasi muzik dalam pengajaran dan pembelajaran adalah sangat efektif kerana pendekatan muzik sesuai digunakan untuk semua peringkat umur. Menurut kajian yang dijalankan oleh beliau, penggunaan kaedah muzik dan 10 nyanyian dalam pengajaran dan pembelajaran boleh membantu murid mengingati pengalaman pembelajaran yang dilalui di samping dapat menggalakkkan penglibatan aktif murid. Irama dan melodi yang digunakan dalam lagu, sajak dan rap dapat menguatkan memori terhadap fakta dan isi pelajaran.
Metadologi Kajian
Kumpulan Sasaran
Kajian ini dijalankan dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah yang terletak di Sungai Petani iaitu di kelas Darul Sakinah yang mempunyai enam orang murid. Murid-murid di kelas tersebut mempunyai pelbagai kategori kecacatan iaitu Sindrom Down, Lembam dan Terencat Akal. Di dalam kelas Darul Sakinah yang terdapat tiga orang murid Lembam, pengkaji telah memutuskan untuk melaksanakan kajian kepada salah seorang murid Lembam yang merupakan seorang murid perempuan dan dikenali sebagai Murid M. Ini memandangkan walaupun usia Murid M sudah 11 tahun dan pernah mengikuti aliran perdana, pengkaji berpendapat maka perlu mencari punca murid tersebut tidak boleh membaca.
Pelaksanaan Kajian
Tinjauan Awal
Untuk memperoleh dapatan awal dalam meninjau dan menganalisis masalah yang dihadapi Murid M, pengkaji telah menggunakan kaedah analisis dokumen seperti berikut:
1.       Borang Pendaftaran Kanak-Kanak Kurang Upaya Bagi Murid M
Berdasarkan pengesahan pegawai dan pakar perubatan menunjukkan bahawa Murid M tidak mempunyai masalah pergerakan dan mengurus aktiviti harian serta tingkah laku. 
2.       Instrumen Penentuan Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Bagi Murid M
Instrumen ini digunakan semasa pentaksiran yang dijalankan untuk tujuan penempatan ke dalam sesuatu program Pendidikan Khas. Setelah dianalisis instrumen berkenaan, pengkaji mendapati Murid M tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan.


3.          Markah Peperiksaan Akhir Tahun 2011 Bagi Murid M
Apabila Murid M tidak boleh membaca menyebabkan Murid M sukar untuk menerima pembelajaran. Hal ini dibuktikan dengan data markah Peperiksaan Akhir Tahun bagi tahun 2011 seperti Jadual 1 yang diperoleh daripada Unit Peperiksaan sekolah tersebut.

    Jadual 1
  Markah Peperiksaan Akhir Tahun 2011
Subjek
Markah
Gred
Bahasa Melayu  (Penulisan)
3
E
Bahasa Melayu (Kefahahaman)
45
C
Bahasa Inggeris
6
E
Matematik
11
E
Kajian Tempatan
10
E
Pendidikan Islam
20
D
Bahasa Arab
28
D
Pendidikan Muzik
10
E
Kemahiran Hidup
23
D
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan
46
C
Pendidikan Seni 
46
C
4.          Ujian Diagnostik
Ujian diagnostik dijalankan ke atas murid-murid pada awal kajian. Tujuan ujian ini adalah untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan murid. Antara aspek yang terkandung dalam ujian tersebut adalah ujian mengecam huruf. Pengkaji telah melaksanakan ujian tersebut kepada murid M pada 18 Mac 2012 iaitu pada jam 7.40 pagi. Setelah dianalisis ujian tersebut didapati murid M gagal mengecam sebarang huruf.
Tindakan yang Dijalankan
Pengkaji telah mengadaptasikan model kajian tindakan oleh Kemmis dan McTaggart (1988) dan Jean McNiff (1988) dalam Madzniyah et al. (1995) iaitu Gelungan Kajian Tindakan Berterusan. Langkah yang terlibat dalam gelungan kajian tindakan seperti berikut:
Langkah 1: Mengenal Pasti Masalah
Berdasarkan Langkah 1, pengkaji telah mengenalpasti dan menganalisis isu yang dialami semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Isu tersebut adalah masalah membaca dalam murid Lembam. Kemudian, pengkaji telah merefleks punca yang mendorong kepada isu tersebut. Punca yang dikenal pasti adalah peserta kajian (Murid M) tidak mendapat kaedah rawatan yang bersesuaian. Pada peringkat ini, pengkaji telah melakukan tinjauan awal dan analisis masalah menggunakan analisis dokumen dan ujian diagnostik untuk memperoleh data awal.

Langkah 2: Merancang
Pada Langkah 2, pengkaji telah merancang aktiviti, tempoh masa, bahan dan cara penilaian untuk melaksanakan kajian tindakan ini. Tempoh masa bagi pelaksanaaan untuk kajian tindakan ini adalah selama 20 hari (4 minggu). Murid telah diminta membaca pada jam 7.30 hingga 8.00 pagi pada setiap hari persekolahan.  Pengkaji memilih pada masa tersebut memandangkan jadual waktu pendidikan khas bermula pada jam 8.00 pagi.  Sekiranya murid terlibat dengan aktiviti luar dan perhimpunan, maka sesi pembacaan akan ditangguhkan.

Langkah 3: Bertindak
Langkah 3 memerlukan pengkaji untuk bertindak iaitu melaksanakan intervensi atau kaedah rawatan dalam memperbaiki masalah Murid M. Pengkaji menggunakan Kaedah Fonik dan membuat improvisasi sebagai Kaedah Fonik Iqra. Pengkaji memilih nama tersebut memandangkan susunan huruf konsonan berdasarkan huruf jawi dan mengadaptasikan lagu Iqra dalam proses pengajaran dan pembelajaran. 
Kebaikan Kaedah Fonik Iqra berbanding Kaedah Fonik yang pernah dijalankan adalah pengkaji mengaitkan pengetahuan sedia ada murid melalui pembelajaran secara Konstruktivisme iaitu murid membina makna dengan mensintesis pengalaman baru kepada apa yang mereka telah fahami sebelum ini (Brooks dan Brooks, 1993). Pengkaji mendapati Murid M berkebolehan membaca Buku Qiraati sewaktu pembelajaran Pendidikan Islam. Kebolehan Murid M dalam membaca Buku Qiraati turut menyebabkan Murid M dipilih untuk mewakili Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolahnya sebagai peserta Hafazan dalam Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas. Oleh itu, pengkaji telah menggunakan susunan konsonan yang berdasarkan susunan Jawi.
Selain perbezaan dari susunan konsonan yang berdasarkan susunan Jawi, pengkaji turut menggunakan lagu Iqra sebagai bahan bantu mengajar dalam Kaedah Fonik Iqra. Penggunaan lagu Iqra adalah selari dengan Model Pengajaran Behavioral (Noriati et al, 2009) yang menekankan penggunaan pelbagai kaedah pengajaran serta merancang pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan.
Selain penggunaan lagu Iqra, pengkaji turut menggunakan kad bacaan, kad gambar, kad huruf dan kad suku kata sebagai bahan bantu mengajar. Untuk aktiviti pula, pengkaji telah menjalankan beberapa aktiviti mengikut kemahiran yang diajar. Terdapat enam aktiviti untuk kemahiran membunyikan vokal iaitu pengkaji memperkenalkan bunyi vokal /a/, /u/ dan /i/ terlebih dahulu dengan menggunakan kad huruf dan lagu Iqra, menamakan objek dengan kad gambar, permainan memilih huruf berdasarkan sebutan, membaca dengan kad bacaan dan diikuti dengan Ujian Formatif membunyikan vocal.
Kemahiran membunyikan suku kata pula melibatkan lima aktiviti iaitu pengkaji perkenalkan bunyi suku kata dengan kad suku kata dan lagu Iqra, membunyikan suku kata dengan kad bacaan, lembaran kerja, permainan mencantum kad dan diikuti dengan Ujian Formatif untuk kemahiran membunyikan suku kata. Kemahiran seterusnya adalah kemahiran membaca perkataan VKV dan KVKV. Aktiviti-aktiviti yang diadakan adalah permainan mencantum suku kata membina perkataan dan diikuti dengan Ujian Formatif.

Langkah 4: Memerhati
Langkah 4 memerlukan pengkaji mengumpul data serta membuat analisis bagi menilai tindakan yang telah dijalankan. Pengumpulan data telah dilakukan melalui cara-cara berikut:
1.       Ujian formatif
Ujian ini dijalankan setelah Murid M mempelajari sesuatu kemahiran membaca. Antara aspek yang dinilai adalah kemahiran membunyikan vokal, membunyikan suku kata dan perkataan.

2.       Pemerhatian
Pengkaji membuat pemerhatian terhadap tingkah laku murid M. Ini bertujuan untuk mengenal pasti perlakuan dan sahsiah murid semasa proses membaca sedang dijalankan. Pengkaji menggunakan senarai semak (Cohen, Manion, dan Marrison 2001 dalam Rosinah Edinin 2011) bagi merekod tingkah laku murid. Pemerhatian ini dibuat semasa di dalam setiap sesi pelaksanaan aktviti iaitu selama 30 minit dan sebanyak 12 kali.
3.       Temubual
Temubual merupakan satu kaedah pengumpulan data yang amat penting kerana membantu pengkaji meneroka dan mendapatkan maklumat secara mendalam (Madzniyah et.al, 1995). Tujuan temubual adalah untuk mengetahui persepsi, pendapat, sikap peserta kajian terhadap tindakan yang diambil. Semasa mengadakan temubual tersebut pengkaji telah merekod temubual dengan menggunakan rakaman audio. Temubual yang dijalankan pada awal kajian adalah untuk meneroka latar belakang murid manakala temubual yang dijalankan pada peringkat semasa dan akhir sesi pembacaan adalah untuk mengetahui perasaan Murid M.



4.       Rakaman Audio Bacaan
Pengkaji merekod pembacaan oleh Murid M iaitu semasa membaca kad bacaan bagi ketiga-tiga kemahiran iaitu membunyikan vokal, membunyikan suku kata dan membaca perkataan VKV dan KVKV dengan menggunakan alat perakam untuk merakam. Tujuan rakaman ini adalah untuk mendengar dan menganalisis sebutan Murid M.

Langkah 5: Merefleks
Untuk langkah ini, pengkaji membuat kesimpulan, merumus dapatan serta mencadang untuk kajian lanjutan.

Analisis Data
Analisis Keputusan Ujian Fomatif
  i.          Kemahiran 1: membunyikan vokal /a/, /u/ dan /i/.

 Jadual 1
Analisis Penilaian Ujian Kemahiran Membunyikan Vokal yang Diadakan pada 22 Mac 2012
Kemahiran yang diuji
Vokal
Jumlah soalan
Skor yang diperoleh
Membunyikan vokal
a
3
1
i
3
0
u
3
0


Jumlah
1


Peratus
11.11 %

Jadual 2
 Analisis Penilaian Ujian Kemahiran Membunyikan Vokal yang Diadakan pada 29 Mac 2012
Kemahiran yang diuji
Vokal
Jumlah soalan
Skor yang diperoleh
Membunyikan vokal
a
3
       3
i
3
       3
u
3
       2


Jumlah
       8


Peratus
88.88 %

ii.          Membunyikan suku kata terbuka KV (/ba/, /bu/, /bi/ dan /ta/, /tu/ dan /ti/).
Jadual 3
 Analisis Penilaian Ujian Kemahiran Membunyikan Suku Kata yang Diadakan pada 5 April 2012
Kemahiran yang diuji
Suku kata
Jumlah soalan
 Skor yang   diperoleh
Membunyikan suku kata
ba
3
3
bi
3
2
bu
3
2
ta
3
0
ti
3
1
tu
3
0


Jumlah
8


Peratus
44.44%





Jadual 4
Analisis Penilaian Ujian Kemahiran Membunyikan Suku Kata yang Didakan pada 10 April 2012
Kemahiran yang diuji
Suku kata
Jumlah soalan
Skor yang diperoleh
Membunyikan suku kata
ba
3
2
bi
3
3
bu
3
2
ta
3
2
ti
3
3
tu
3
2


Jumlah
14


Peratus
77.77%

  iii.      Kemahiran 3: membaca perkataan VKV dan KVKV (‘ibu’, ‘bubu’, ‘abu’, ‘ubi’, ‘bata’).
    Jadual 5
Analsis Penilaian Ujian Kemahiran Membaca Perkataan pada 10 April 2012
Kemahiran yang diuji

Perkataan
Skor
Skor yang diperoleh

1
2
3
4

Membaca perkataan
ubi


/

3
ibu


/

3
bubu



/
4
bata
/



1
batu
/



1





Jumlah
12





Peratus
60%


Jadual 6
Analisis Penilaian Ujian Kemahiran Membaca Perkataan pada 12 April 2012
Kemahiran yang diuji
Perkataan
Skor
Skor yang diperoleh

1
2
3
4

Membaca perkataan
ubi


/

3
ibu


/

3
bubu



/
4
bata



/
4
batu


/

3





Jumlah
17





Peratus
85%


Analisis Pemerhatian Tingkah Laku Murid M Sepanjang Pelaksanaan Aktiviti Membaca
Jadual 7
 Kedudukan Tingkah Laku yang Dipamerkan (Ada) oleh Murid M
Tingkah laku
Kedudukan (Kekerapan)
Kerapkali menggarukan kepala
1 (8)

Berkhayal
2 (5)

Murid mudah berasa letih
3 (4)

Murid berasa bosan untuk membaca
4 (3)

Mengalami masalah sebutan
5 (2)

Rasa takut dan gementar
5 (2)

Tidak mematuhi arahan
7 (1)

Cara duduk yang berubah-ubah
8 (0)

Suka bergerak ke sana sini
8 (0)

Analisis Temubual
Sebahagian daripada transkripsi temubual adalah seperti berikut:
 Jadual 8
 Transkripsi Temubual Pengkaji dengan Murid M
Soalan Temubual
Jawapan Murid M
1.       Beritahu cikgu, perasaan kamu setelah boleh membaca
2.       Adakah kamu suka cikgu ajar cara membaca?
3.       Apa yang kamu maksudkan dengan suka sikit-sikit?
4.       Adakah kamu suka lagu yang cikgu ajar?
5.       Semasa di rumah, adakah mak ayah bantu kamu membaca?
Syok… nanti saya boleh polis kan…..

Suka sikit-sikit

Tidak suka cikgu garang…tapi suka bila cikgu bagi hadiah.
Suka

Tidak. Mak tak tau. Ayah pi kerja…..

Melalui penguasaan kemahiran membaca Murid M berharap cita-citanya akan tercapai menjadi seorang polis. Justeru, pengkaji merasakan bahawa Murid M mempunyai impian, namun sukar kerana tidak tahu membaca. Jadi, pengkaji merasakan impian Murid M itu dapat dijadikan sebagai dorongan. Melalui temubual, pengkaji turut mendapat tahu yang Murid M tidak suka sekiranya mempunyai guru yang garang tetapi dia suka kepada guru yang sabar, prihatin serta memahami keperluan individunya dan memberi ganjaran. Selain itu, pengkaji juga mendapati tidak ada kesinambungan pembelajaran di rumah menyebabkan murid M mudah lupa tentang apa yang telah diajar di sekolah.

Analisis Rakaman Audio Bacaan
Berdasarkan rakaman tersebut, pengkaji mendapati Murid M tidak mempunyai masalah sebutan dalam membunyikan suku kata dan perkataan VKV serta KVKV tetapi mempunyai masalah sebutan dalam membunyikan vokal /a/ iaitu Murid M membunyikannya dengan /ha/. Justeru, pengkaji telah menggunakan kad gambar dan lagu Iqra sebagai bahan bantu mengajar. Pengkaji meminta Murid M menyebut perkataan ‘api’ dan ‘ayam’ supaya Murid M membiasakan diri dengan membunyikan /a/. Penggunaan lagu Iqra turut membantu Murid M membunyikan vokal /a/ dengan betul.

Dapatan Kajian Dan Perbincangan
Soalan Kajian 1: Meningkatkan Kemahiran Membaca dengan Menggunaan Kaedah Fonik Iqra
Strategi yang telah digunakan oleh pengkaji bagi membantu mempertingkatkan kemahiran membaca murid Lembam yang dikenali sebagai Murid M adalah dengan mengajar kemahiran membunyikan vokal, diikuti membunyikan suku kata dan seterusnya membaca perkataan VKV dan KVKV.  Strategi pengajaran dari mudah ke sukar atau mengikut prinsip Pembelajaran Masteri ini adalah bertujuan untuk memudahkan kefahaman Murid M. Pembelajaran Masteri merupakan satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan murid menguasai hasil pembelajaran sebelum berpindah ke unit pembelajaran seterusnya (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001). Pembelajaran secara Masteri ini juga adalah selaras dengan kajian yang dijalankan oleh Zaidah  Othman (1978) bahawa dalam pengajaran Bahasa Melayu di peringkat awal, kemahiran-kemahiran asas perlu dikukuhkan sebelum pengajaran membaca ayat dijalankan. Kemahiran-kemahiran tersebut adalah seperti berikut:
i.         Menamakan dan membunyikan huruf-huruf abjad dengan betul
ii.        Menyebut dan membunyikan bilangan huruf-huruf abjad dengan betul
iii.      Menggabungkan bunyi-bunyi suku kata dan perkataan
Penggunaan Kaedah Fonik Iqra telah membantu Murid M meningkatkan kemahiran membaca. Pada mulanya, pengkaji memperkenalkan bunyi vokal /a/, /u/ dan /i/ terlebih dahulu dengan menggunakan kad huruf dan lagu Iqra, menamakan objek dengan kad gambar, permainan memilih huruf berdasarkan sebutan, membaca dengan kad bacaan dan diikuti dengan Ujian Formatif. Melalui aktiviti-aktiviti tersebut Murid M telah menjalani Ujian Formatif pada 22 Mac 2012 dan didapati hanya memperoleh skor 1 dan menunjukkan tidak lulus. Justeru, pengkaji telah mengulang semula dengan meningkatkan aktiviti membaca yang menggunakan kad bacaan, lagu Iqra dan permainan memilih kad huruf mengikut sebutan pengkaji. Malah, pengkaji juga memberi ganjaran kepada Murid M sekiranya memilih kad huruf yang betul.
Pengulangan aktiviti ini penting memandangkan Murid M merupakan murid Lembam yang mempunyai daya ingatan yang lemah dan kecelaruan penggunaan bahasa seperti yang dinyatakan oleh Hallahan dan Kaufman (2006). Malah melalui pengulangan ini menunjukkan pengkaji mengaplikasikan Teori Pemerolehan Bahasa iaitu Teori Mekanis (dlm Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005) bahawa pengulangan secara mekanis ini adalah sangat penting untuk penguasaan bahasa. Dapatan penilaian Ujian Formatif yang kedua telah dijalankan pada 29 Mac 2012 dan Murid M didapati hanya melakukan kesilapan sebanyak sekali iaitu semasa membunyikan /u/. Dapatan tersebut menunjukkan Murid M telah lulus dan boleh diajar dengan kemahiran seterusnya.
Selain itu, Murid M juga berjaya membunyikan suku kata dengan Kaedah Fonik Iqra. Kemahiran membunyikan suku kata melibatkan lima aktiviti iaitu pada mulanya pengkaji perkenalkan bunyi suku kata dengan kad suku kata dan lagu Iqra, murid M membunyikan suku kata dengan kad bacaan, lembaran kerja, permainan mencantum kad dan diikuti dengan Ujian Formatif untuk kemahiran membunyikan suku kata. Pada 5 April 2012, pengkaji telah melaksanakan Ujian Formatif untuk suku kata dan keputusan menunjukkan Murid M hanya boleh menguasai kemahiran membunyikan suku kata yang melibatkan ‘ba’, ‘bu’, dan ‘bi’ tetapi untuk suku kata ‘ta’, ‘ti’ dan ‘tu’ menunjukkan Murid M memerlukan bimbingan. Setelah selesai Ujian Formatif tersebut, pengkaji mendapati Murid M kelihatan kecewa maka pengkaji meneruskan aktiviti dengan meminta Murid M untuk mencantum kad vokal dengan kad suku kata yang melibatkan huruf ‘b’ untuk membentuk perkataan. Perkataan pertama yang berjaya dibina oleh Murid M adalah ‘ibu’. Pengkaji melihat Murid M seronok atas kejayaannya itu. Aktiviti diteruskan dengan perkataan ‘ubi’ dan ‘bubu’.
Apabila Murid M berjaya, pengkaji mengulang semula aktiviti pembelajaran suku kata yang melibatkan huruf ‘t’. Pengkaji turut menambah satu permainan iaitu meminta Murid M memilih kad suku kata yang ditaburkan di atas meja dan sekiranya betul, Murid M akan diberi ganjaran. Kemudian, pengkaji melaksanakan semula Ujian Formatif pada 10 April 2012. Dapatan kajian iaitu Ujian Formatif yang dijalankan pada 10 April dan menunjukkan Murid M berjaya mencapai skor lulus.
Setelah Murid M berjaya membunyikan vokal dan suku kata, Murid M turut mampu berjaya membaca perkataan VKV dan KVKV. Untuk membaca perkataan, aktiviti-aktiviti yang diadakan adalah permainan mencantum suku kata membina perkataan dan diikuti dengan Ujian Formatif pada 10 April 2012. Berdasarkan Ujian Formatif pada 10 April 2012, Murid M didapati gagal membaca perkataan yang melibatkan suku kata ‘ta’, ‘tu’, dan ‘ti’. Kemudian, pada 12 April 2012, pengkaji melaksnakan semula Ujian Formatif untuk kemahiran membaca perkataan VKV dan KVKV. Dapatan menunjukkan Murid M boleh membaca kelima-lima perkataan dan kekerapan skor adalah 3 dan 4. Peningkatan ini adalah kerana pengkaji melaksanakan latih tubi untuk meningkatkan daya ingatan Murid M.
Secara keseluruhannya, kemahiran membaca Murid M dapat ditingkatkan dengan menggunakan Kaedah Fonik Iqra. Dapatan kajian ini selaras dengan kajian oleh Yahya Othman et al. (2012) yang  menunjukkan bahawa Kaedah Fonik dapat memberikan kesan positif terhadap prestasi pembelajaran murid terutamanya dari segi mempercepatkan penguasaan kemahiran membaca. Selain itu, murid didapati lebih bermotivasi dan berminat untuk mengikuti sesi membaca apabila memasukkan elemen muzik iaitu lagu Iqra. Berdasarkan temubual dan pemerhatian, pengkaji mendapati Murid M merasa seronok apabila sudah boleh membaca berbanding dengan sebelum ini yang dia tidak tahu apa-apa. Di samping itu, perancangan aktiviti-aktiviti beserta bahan bantu mengajar yang sesuai juga meningkatkan lagi penguasaan membaca Murid M.

Soalan Kajian 2: Tingkah Laku yang Dipamerkan Oleh Murid M Semasa Sesi Pembacaan

Dapatan menunjukkan sepanjang 12 sesi pembacaan yang telah dijalankan, kekerapan bagi tiap-tiap satu tingkah laku yang diperhatikan adalah tidak tetap. Murid M tidak mempamerkan sebarang tingkah laku yang mengganggu perjalanan proses pembacaan. Bagi tingkah laku “kerap kali menggarukan kepala”, Murid M melakukan sebanyak 8 kali daripada 12. Ini merupakan kekerapan paling tinggi berbanding tingkah laku yang lain. Berdasarkan pemerhatian, ini kerana Murid M mudah lupa dan merupakan satu tabiat semasa mengingati sesuatu perkara.
Tingkah laku yang berada pada kedudukan yang ke-2 adalah “berkhayal”. Murid M dilihat ralit dan memerlukan pengkaji memanggil nama Murid M berkali-kali. Murid M melakukan sebanyak 5 kali daripada 12 sesi pembacaan. Pengkaji turut mendapati Murid M sering berkhayal semasa diajar membaca berbanding mendengar lagu dan menjalankan aktiviti. Dapatan ini selari dengan Model Pengajaran Behavioral yang menekankan penggunaan pelbagai kaedah pengajaran serta merancang pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan.
Kedudukan yang ke-3 pula, adalah Murid M “mudah berasa letih”. Pengkaji mendapati walaupun sesi pembacaan dijalankan pada jam 7.30 pagi, namun Murid M dilihat kadangkala letih. Apabila disoal, Murid M mengatakan yang dia malas untuk bangun pada awal pagi. Seterusnya kedudukan tingkah laku yang ke-4 adalah murid “berasa bosan untuk membaca”. Sepanjang sesi pembacaan ini dijalankan pengkaji mendapati Murid M melakukan tingkah laku ini sebanyak 3 kali sahaja iaitu berdasarkan mimik muka dan meminta ingin ke taman permainan bersama rakan sekelasnya. Pengkaji melihat Murid M menunjukkan tingkah laku bosan semasa pengkaji memperkenalkan vokal, suku kata dan perkataan tanpa menggunakan lagu Iqra. Justreu, penggunaan lagu Iqra yang seronok dan sesuai dengan jiwa Murid M mampu menarik minatnya.
Terdapat dua tingkah laku pada kedudukan yang ke-5 iaitu mengalami “masalah sebutan” dan “rasa takut dan gementar”. Murid M dilihat melakukan kedua-dua tingkah laku sebanyak 2 kali daripada 12 sesi pembacaan yang dijalankan. Murid M melakukan tingkah laku ini pada awal kajian dijalankan kerana Murid M sukar membunyikan /a/ tetapi menyebut /ha/. Manakala Murid M dilihat berasa gementar kerana pada awal kajian dijalankan pengkaji bersikap menekan dan memaksa untuk Murid M menguasai sesuatu kemahiran.
Kesimpulannya, tingkah laku yang dipamerkan oleh Murid M adalah tidak mengganggu perjalanan sesi pembacaan. Murid M dapat disimpulkan sebagai murid yang baik. Pengkaji turut mendapati kebanyakan tingkah laku seperti berasa bosan, rasa takut, dan tidak mematuhi arahan berlaku pada permulaan kajian dijalankan. Pada masa tersebut, pengkaji lebih menekan supaya murid dapat menguasai kemahiran membaca. Setelah pengkaji menyedari akan sikap itu, pengkaji merubah menjadi seorang yang prihatin dan bersikap lebih lembut tetapi tegas. Kesannya, Murid M tidak lagi mempamerkan tingkah laku sedemikian.
Oleh itu, dapatan kajian adalah selari dengan Teori Humanisme iaitu murid bermasalah pembelajaran mempunyai keperluan yang berbeza. Melayani keperluan individu adalah penting bagi memastikan murid bermasalah pembelajaran dapat berkembang mengikut potensi masing-masing. Teori Humanisme melihat manusia sebagai makhluk istimewa yang tidak serupa dengan haiwan. Humanisme percaya bahawa manusia bertindak atas dasar keperluan, motivasi, minat dan nilai. Humanisme juga percaya manusia perlu dihat secara menyeluruh (Noriati et. al, 2009).
Rumusan / Refleksi
Rumusan
Menerusi kajian tindakan ini, pengkaji mendapati peserta kajian yang dikenali sebagai Murid M (Lembam) dapat meningkatkan kemahiran membaca dengan menggunakan Kaedah Fonik Iqra. Kaedah Fonik Iqra melibatkan beberapa aktiviti mengikut kemahiran yang diajar. Terdapat enam aktiviti untuk kemahiran membunyikan vokal iaitu pengkaji memperkenalkan bunyi vokal /a/, /u/ dan /i/ terlebih dahulu dengan menggunakan kad huruf dan lagu Iqra, menamakan objek dengan kad gambar, permainan memilih huruf berdasarkan sebutan, membaca dengan kad bacaan dan diikuti dengan Ujian Formatif membunyikan vokal. Kemahiran membunyikan suku kata pula melibatkan  lima aktiviti iaitu pengkaji perkenalkan bunyi suku kata dengan kad suku kata dan lagu Iqra, membunyikan suku kata dengan kad bacaan, lembaran kerja, permainan mencantum kad dan diikuti dengan Ujian Formatif untuk kemahiran membunyikan suku kata.
Kemahiran seterusnya adalah kemahiran membaca perkataan VKV dan KVKV. Aktiviti-aktiviti yang diadakan adalah permainan mencantum suku kata membina perkataan dan diikuti dengan Ujian Formatif. Hal ini bermakna sekiranya ‘rawatan’ yang digunakan adalah sesuai maka dapat membantu murid. Ini disokong oleh Mohd Siraj Awang (1995) bahawa kanak-kanak bekeperluan khas ini memerlukan kaedah, teknik, pendekatan dan alat bantu mengajar yang berkesan dan baik agar mereka dapat dilatih. Dapatan kajian ini turut membuktikan penggunaan Kaedah Fonik Iqra adalah sesuai untuk murid Lembam (Murid M) kerana daripada Murid M tidak boleh mengenal sebarang huruf sehingga Murid M didapati boleh membaca perkataan. Ini selaras dengan pendapat Gross (dlm Nik Rahaya Nik Yahya, 2002) yang mengatakan bahawa Kaedah Fonik dipercayai lebih berkesan dalam pedagogi pembacaan kerana kanak-kanak diajar pada tahap asas teknik membaca yang jitu.
Selain itu, penggunaan lagu Iqra dalam Kaedah Fonik Iqra menjadikan suasana pembelajaran lebih aktif. Murid M kelihatan seronok melalui penggunaan lagu Iqra. Ini kerana melalui muzik, Murid M lebih berminat mengikuti pembelajaran. Ini telah disokong dengan kajian dijalankan oleh Zainure (2003) yang membuktikan bahawa aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berjaya adalah bergantung kepada aktiviti yang menarik yang bersesuaian dengan kehendak dan minat murid-murid seperti muzik dan nyanyian. Penggunaan elemen muzik dan nyanyian bukan sahaja dapat membantu murid-murid mengenali, menyebut dan menghafal struktur, malah aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadikan suasana lebih menyeronokkan.
Melalui penggunaan lagu Iqra, Murid M turut dapat mengaitkan pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan baru iaitu melalui pembelajaran secara Konstruktivisme yang membina makna (Brooks dan Brooks 1993). Ini dapat dibuktikan apabila Murid M dapat mengaitkan susunan konsonan yang membentuk suku kata dalam Kaedah Fonik Iqra adalah mengikut susunan Jawi dan Murid M boleh mengaitkan pengetahuan sedia adanya iaitu membaca Buku Qiraati dengan Kaedah Fonik Iqra. Ini disokong oleh Brewer (2007) dalam kajian yang dijalankan bahawa integrasi muzik dalam pengajaran dan pembelajaran adalah sangat efektif dimana pendekatan muzik sesuai digunakan untuk semua peringkat umur. Mereka membentuk peraturan melalui refleksi tentang interaksi mereka dengan objek dan idea.
Kajian ini turut terdapat beberapa kelemahan yang dikenalpasti iaitu pengkaji mendapati Murid M sering lupa namun berminat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran. Pengkaji melaksanakan kaedah pengulangan seiring dengan Teori Pemerolehan Bahasa iaitu Teori Mekanis (dlm Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005) iaitu pengulangan secara mekanis adalah sangat penting untuk penguasaan bahasa dan akan menarik minat murid sekiranya guru merancang dengan teliti. Namun begitu, memandangkan Murid M adalah murid Lembam dan mempunyai kecelaruan penggunaan bahasa (Hallahan dan Kaufman, 2006), maka melalui kajian ini pengkaji merasakan kesinambungan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah amat penting terutamanya terhadap murid bermasalah pembelajaran. Apabila mempunyai kesinambungan di rumah maka dapat membantu Murid M untuk mengingati kemahiran yang telah diajar.
Selain itu, kekangan masa turut merupakan kelemahan semasa menjalankan kajian ini. Pengkaji telah melaksanakan kajian jam 7.30 pagi memandangkan masa pembelajaran Murid M bermula pada jam 8.00 hingga 12.00 tengah hari. Walau bagaimanapun, terdapat aktiviti yang menghalang pengkaji melaksanakan kajian pada masa tersebut. Antaranya, Murid M terlibat dengan latihan Majlis Tilawah Al-Quran, perhimpunan dan aktiviti terapi. Tambahan lagi, Murid M juga tidak hadir ke sekolah selama tiga hari iaitu pada minggu kedua kajian langkah dijalankan. Pengkaji hanya berpeluang melaksanakan kajian ini sebanyak 12 sesi sahaja. Justeru, pengkaji harus kreatif dan proaktif dalam menyelesaikan masalah atau kekangan yang berlaku.

Refleksi Keseluruhan
Sepanjang kajian ini, banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan yang telah pengkaji lalui terutama semasa sesi pembacaan bersama peserta kajian.
1)       Perubahan Sikap Pengkaji Sebagai Pendidik
Pada awalnya, pengkaji mempunyai keraguan sama ada Murid M mampu mengikuti sesi pembacaan ini atau tidak. Pernah terdetik dalam minda pengkaji, ‘bolehkah?’ dan ‘sesuaikah?’ Walaupun pengkaji telah menjalani sebanyak dua kali praktikum dan pernah berhadapan dengan murid Lembam sebelum ini, tetapi ini merupakan kali pertama pengkaji berhadapan dengan murid Lembam yang berada agak lama di dalam aliran arus perdana iaitu selama lima tahun. Pengkaji turut pernah tidak yakin dengan kaedah kajian yang akan dilaksanakan. Pernah terdetik di dalam minda pengkaji untuk merancang langkah yang lain. Namun, setelah berbincang dengan penyelia, pengkaji merasakan ini merupakan tanggungjawab sebagai pendidik terutamanya dalam bidang Pendidikan Khas apabila berhadapan dengan cabaran seperti ini. Sungguhpun terdapat andaian yang menyatakan kemahiran membaca ini mudah dikuasai namun untuk murid Lembam adalah agak sukar. Akan tetapi sekiranya diberikan kaedah pengajaran yang sesuai beserta guru yang sentiasa ingin melihat perubahan dalam diri muridnya maka perkara sukar dapat diatasi.  Ini seiring dengan karya Teach Your Baby to Read oleh Doman G. (dlm Ruhana Jaafar, 2002)  yang telah memulakan pengkajian terhadap kanak-kanak cacat yang bertujuan untuk mencari cara rawatan yang terbaik dan berkesan ke arah pandai membaca, meskipun gagal pada peringkat awalnya. Akhirnya pada tahun 1955 Doman telah berjaya menubuhkan Pusat Pemulihan di Philadelphia di mana ramai kanak-kanak cacat telah berjaya dipulihkan malah dalam lingkungan 3 tahun lagi mereka sudah boleh membaca.
Sebagai guru, pengkaji turut belajar pendekatan yang sesuai untuk murid Lembam yang mana pengkaji dapati murid Lembam ini memerlukan pendekatan one to one iaitu seorang guru untuk seorang murid. Ini kerana murid seperti ini memerlukan tumpuan yang lebih daripada guru sebagaimana Teori Humanisme (Noriati et al, 2009) yang menyatakan pelajar berkeperluan khas mempunyai keperluan yang berbeza. Justeru, guru sewajarnya melayani keperluan indvidu kerana penting dalam membantu perkembangan potensi murid. Malah, melalui kajian ini, pengkaji mempelajari pembelajaran yang sesuai dengan murid-murid berkeperluan khas iaitu Pembelajaran Masteri (Noriati et al, 2009) yang mana masa pembelajaran adalah fleksibel dan setiap murid menerima pengajaran yang dirancang, latihan yang diperlukan dan maklum balas serta berasaskan pemulihan dan penggayaan secara individu. Justeru, melalui kajian ini pengkaji telah belajar mengaplikasi Pembelajaran Masteri dalam Kaedah Fonik Iqra iaitu pada mulanya murid diperkenalkan bunyi vokal diikuti membunyikan suku kata dan seterusnya membaca perkataan.
Selain itu, pengkaji juga mempelajari pengulangan pembelajaran amat penting bagi murid berkeperluan khas. Ini seiring dengan Teori Pemerolehan Bahasa iaitu Teori Mekanis  (dlm Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005) yang memberi pendapat bahawa pengulangan secara mekanis ini adalah sangat penting untuk penguasaan bahasa dan akan menarik minat murid sekiranya guru merancang dengan teliti. Di samping itu, pengkaji belajar untuk bersikap sabar dan boleh mengawal perasaan diri. Pada mulanya, pengkaji bersikap menekan (diktator) iaitu memaksa Murid M mengikuti sesi pembacaan dan didapati Murid M tidak berminat. Kemudian, pengkaji mendekati Murid M dengan bersikap lebih santai, bersikap sabar dan menggunakan peneguhan positif iatu memberi ganjaran sekiranya didapati Murid M boleh mengikuti sesi pembacaan. Akhir sekali, melalui kajian ini, pengkaji dapat meningkatkan profesion keguruan dan menjadi seorang guru Pendidikan Khas yang prihatin dan dedikasi terhadap tugas di samping kreatif untuk membantu murid-murid bermaslaah pembelajaran untuk menguasai kemahiran membaca.

2)       Perubahan Sikap Murid
Perubahan sikap ini dapat dilihat apabila Murid M sentiasa menunjukkan minat untuk menguasai kemahiran membaca. Pada mulanya, Murid M tidak berminat dan kelihatan bosan, namun apabila pengkaji menggunakan peneguhan di samping bersikap dengan lebih santai maka didapati Murid M dapat meneruskan sesi pembacaan. Setiap pagi, pengkaji mendapati Murid M sudah meletakkan bahan di atas meja untuk membaca. Murid M juga kelihatan seronok apabila boleh membaca dan memperoleh tanda (/) yang menunjukkan betul pada kertas ujian. Walaupun kadangkala Murid M teragak-agak dan mengambil masa untuk membaca, namun Murid M tetap memberi jawapan. Murid M turut dilihat tidak pernah bergerak ke tempat lain sepanjang sesi pembacaan walaupun pada masa tersebut terdapat rakan-rakannya bermain di taman permainan. Akhir sekali setelah selesai kajian ini, hubungan pengkaji dengan Murid M semakin mesra berbanding sebelum ini iaitu Murid M seperti malu dan takut. Pengkaji turut mendapati Murid M sentiasa bertanya pengkaji ..cikgu tidak mahu masuk kelas kami....?. Melalui soalan tersebut, pengkaji berasa dihargai.

Cadangan Kajian Lanjutan
Sekiranya mempunyai tempoh masa yang lebih lama lagi, pengkaji ingin melaksanakan gelungan seterusnya. Pengkaji berharap semasa gelungan seterusnya, pengkaji dapat menjalankan kajian bagi aspek-aspek berikut:
1.       Mengintegrasikan unsur terapi bermain agar murid lebih berminat.
2.       Kesinambungan pembelajaran di rumah dalam meningkatkan kemahiran membaca murid.
3.       Peneguhan positif dalam meningkatkan minat murid Lembam terhadap membaca